Sebanyak 20 buah motosikal dari kelab Komuniti Crew RS150R telah menyertai program Lawatan Ke Teratak Mije The Snake Master yang diadakan pada 11 April lalu. Diadakan sebelum bulan Ramadan, program ini diketuai saudara Zam dan dibantu saudara Jay menziarah salah seorang ahli CRS Perak iaitu saudara Mije yang juga peminat haiwan-haiwan reptilia.
Para peserta berkumpul terlebih dahulu di Gazebo Abang Nash yang terletak di Kg Sri Rahmat, Jalan Batu Gajah pada pukul 9.00 pagi untuk bersarapan pagi sebelum bergerak ke teratak saudara Mije. Selesai bersarapan pagi, konvoi sempat bergambar kenangan bersama saudara Nash seterusnya bacaan doa perjalanan dibaca oleh Ustaz Yunus Azizi.
Konvoi tiba di teratak saudara Mije pada pukul 11.00 pagi dan disambut gembira oleh beliau. Para peserta seterusnya dibawa melihat koleksi-koleksi haiwan peliharaan miliknya. Antara haiwan reptilia dalam koleksi beliau termasuk ular sawa albino, tedung selar, biawak dari negara Argentina dan banyak lagi spesis ular yang sukar didapati di Malaysia. Saudara Mije sangat mengalu-alukan jemputan untuk tujuan pameran dan penerangan mengenai haiwan-haiwan reptilia ini. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di talian 013-5534141.
Sebelum bersurai, konvoi mengambil gambar kenangan bersama saudara Mije The Snake Master sebagai kenangan. Seterusnya, konvoi bergerak ke Tapah untuk menikmati juadah makanan yang dihidangkan di Restoran Nasi Bamboo Sg Klah. Pelbagai menu makanan yang menarik ada disediakan di sini dan semuanya sedap-sedap belaka.
Selesai menikmati makanan di Restoran Nasi Bamboo, konvoi bergerak ke Kuala Razila yang terletak di Gopeng untuk berehat santai. Ada yang mengambil kesempatan ini menyejukkan badan dengan bermandi-manda di sungai di Kuala Razila. Tempat ini sangat sesuai untuk bercuti bersama ahli keluarga dan sahabat-sahabat permotoran. Terdapat chalet yang disediakan dengan harga yang berpatutan. Selain itu, turut disediakan aktiviti berkayak dan hiking bagi yang sukakan cabaran alam semulajadi.
Selesai mandi-manda dan menikmati makanan di Cafe berhampiran, konvoi bersiap sedia berangkat pulang ke rumah masing-masing pada pukul 6.30 petang. Semoga bertemu lagi pada konvoi yang akan datang. Insya Allah.
Perkongsian: Zam CRS