MODA Shifter 400X, model terkini dalam rangkaian skuter MODA telah dirasmikan pada ekspo Art of Speed. Bukan sekadar sebuah skuter biasa, Shifter 400X direka khusus untuk dinikmati oleh semua lapisan pengguna. Ia adalah sebuah jentera pengembaraan lasak yang kini bersaing dengan deretan skuter sedia ada.
MODA – “Because I Can” (Kerana Saya Boleh) merupakan identiti dan falsafah ketika pelancaran Shifter 400X. Ia memberi maksud bahawa jentera ini memberikan kuasa kepada penunggang Shifter 400X untuk menentukan arah perjalanan mereka sendiri, memilih laluan mereka sendiri, dan menunggang mengikut gaya hidup mereka yang tersendiri.
Shifter 400X dikuasakan oleh enjin SOHC satu silinder 333cc 4-injap turut menawarkan keseimbangan yang ideal antara prestasi dan kepelbagaian tunggangan buat penunggang yang mahukan pengembaraan serta mendambakan keselesaan harian.
Terdapat pelbagai ciri canggih yang melengkapi skuter ini. Malah, bagi mereka yang berfikir ia sebuah jentera yang ‘bagak’, MODA Shifter 400X mengekalkan keseluruhan berat bersih dengan hanya 208kg serta ketinggian tempat duduk 775mm, menjadikannya antara skuter serba lincah dan responsif di pelbagai permukaan jalan.
Penunggang juga pasti menghargai penghadang angin yang dilengkapi dengan pelarasan dua tahap ketinggian yang boleh dilaras secara manual. Ini membolehkan aliran udara serta aerodinamik boleh diubah mengikut keselesaan ketika menunggang jarak jauh.
Sistem ABS (Anti-lock Braking System) dan TCS (Traction Control System) turut dilengkapkan sebagai penawaran standard untuk memastikan keselamatan dan kawalan terbaik dalam pelbagai keadaan tunggangan.
Shifter 400X turut dilengkapi dengan beberapa teknologi yang mampu meningkatkan lagi pengalaman menunggang. Ia hadir dengan empat lampu utama LED jenis ‘lenticel’ yang menampilkan sistem AFS (Adaptive Front lighting System) untuk pencahayaan lebih cerah dan dinamik dalam keadaan gelap atau sewaktu mengambil selekoh.
Penulis tertarik di bahagian belakang Shifter 400X. Lampu brek LED berbentuk V turut disertakan dengan bantuan ESS (Emergency Stop Signal) yang memberi isyarat kecemasan semasa membrek secara mengejut bagi meningkatkan keselamatan buat kenderaan lain yang berada di belakangnya.
Jentera skuter ini juga turut dilengkapi dengan sistem penghidup tanpa kunci pintar bersama sarung kunci premium yang turut berfungsi sebagai butang kawalan yang boleh membuka ruang simpanan di bawah tempat duduk. Ruang simpanan yang besar di bawah tempat duduk ini juga turut dilengkapi dengan lampu membolehkan penunggang mengakses ruang sambil diterangi cahaya untuk penglihatan yang lebih jelas.
Sistem kunci ini turut dilengkapi ciri keselamatan ‘immobilizer’ dan sistem pagaran elektronik yang akan memberi amaran jika skuter digerakkan melebihi jarak yang telah ditetapkan ketika di dalam keadaan pegun. Paparan instrumen LCD TFT 7-inci berwarna penuh pula turut memaparkan data jelas seperti sensor pemantau tekanan tayar (TPMS).
Skrin ini juga boleh melaras secara automatik kecerahan paparannya mengikut pencahayaan persekitaran, memastikan skrin mampu dilihat secara maksimum pada waktu tunggangan siang dan malam. Skuter ini juga dilengkapi dua port pengecasan – satu USB 12V standard dan satu soket pemetik api 12V. Soket 12V ini disediakan sebagai aksesori yang mampu mengecas peranti ketika dalam perjalanan.
Seperti semua model MODA, sambungan telefon pintar menjadikan tunggangan lebih mudah dan efisien melalui capaian pintar peranti Apple dan Android yang tersedia dengan bantuan navigasi dan padanan panggilan ketika menunggang. Sebagai aksesori tambahan, sistem kamera dwi-lensa hadapan dan belakang boleh diaktifkan untuk merakam perjalanan.
Kandungan rakaman tersebut turut boleh dimuat turun melalui aplikasi mudah alih khas. Melengkapkan keselesaan tunggangan Shifter 400X, tayar hadapan 14” dan belakang 13” yang menggunakan corak “turtle back” turut dilengkapkan untuk memberi cengkaman dan kestabilan optimum untuk pelbagai jenis laluan yang bakal ditempuh oleh pengguna skuter ini.
MODA Shifter 400X ditawarkan dalam dua pilihan warna menarik; Ninja Black dan Ultra White dan ia hadir pada tag harga RM23,888.00 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).
Spesifikasi MODA Shifter 400X
Enjin : 4-Injap, 1-Silinder, SOHC
Sistem Bahan Api : Suntikan Elektronik (EFi)
Pengurusan Enjin : Elektronik (ECU)
Penghidup : Electric
Pencucuhan : Transistor Penuh
Transmisi : CVT
Pensijilan : Euro 4
Kapasiti Enjin : 333cc
Kuasa Maksimum : 26.8 Hp @ 7,500 rpm
Tork Maksimum : 33.5 Nm @ 5,500 rpm
Sistem Penyejukan : Cecair Penyejukan & Radiator
Brek Hadapan : ABS/TCS & 276mm Cakera Tunggal (5mm)
Brek Belakang : ABS/TCS 240mm Cakera Tunggal (5mm)
Tayar Hadapan : 120/70-14
Tayar Belakang : 150/70-13
Suspensi Hadapan : Teleskopi Hidraulik
Suspensi Belakang : Penyerap Hentakan Gas Berkembar
Sistem Kunci dan
Ignasi Kunci Pintar : (Nirwayar)
Jarak Antara Roda : 1548 mm
Jarak Jejakan : 165 mm
Berat : 208 Kg
Kapasiti Tangki : 13 L