Sing Yik Motors Sdn Bhd dengan kerjasama CRS Perak Official telah menganjurkan konvoi “Ride Impian Sing Yik Motors” bersempena majlis perasmian pembukaan kedai Honda Impian X di Cawangan Tapah, Perak pada 26 Jun lalu. Seramai 162 peserta terlibat dalam program konvoi kali ini yang bermula di Kedai Sing Yik Motor di Cawangan Ipoh. Para peserta mula hadir dan berkumpul seawal jam 9.00 pagi diketuai oleh saudara Zam selaku Presiden CRS Perak Official dan disambut baik oleh pengarah Sing Yik Motors, En. Simon Chuak bersama kakitangan Sing Yik Motors. Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran dan penerimaan baju rasmi Honda Semangat Impian sebagai pakaian rasmi konvoi pada hari itu.
Selesai sesi pendaftaran dan penerimaan baju, para peserta diberikan taklimat ringkas tentang perjalanan program pada hari itu oleh wakil Sing Yik Motors dan diakhiri dengan bacaan doa oleh saudara Zaini Abdul Kader. Seterusnya, pelepasan konvoi telah disempurnakan oleh En. Tyson selaku pengurus cawangan Ipoh sekitar pukul 10.00 pagi. Para peserta konvoi bergerak dengan bantuan marshal yang diketuai oleh En. Jack dan diiringi oleh 2 buah kereta.
Ketibaan para peserta konvoi di cawangan Tapah pada jam 11.00 pagi disambut oleh En Wong selaku pengurus cawangan Tapah bersama peserta dari Tapah dan juga Teluk Intan. Kemudian, peserta konvoi dibawa melawat ke kedai baru dan peluang ini tidak dilepaskan mereka untuk membeli aksesori motosikal yang dijual.
Program diteruskan dengan ucapan perasmian oleh pengarah Sing Yik Motors Sdn Bhd, En. Simon Chuak dan diikuti dengan sesi bergambar bersama para peserta konvoi di pentas yang disediakan. Selepas sesi bergambar, para peserta dihidangkan jamuan kambing golek dan nasi berlauk untuk makan tengah hari.
Selesai menikmati makanan tengah hari, penganjur menyediakan sesi permainan dan cabutan nombor bertuah di mana hadiah-hadiah yang menunggu pemenangan bertuah sangat istimewa. Antaranya, barangan aksesori Honda dan dua helmet jenama KYT tajaan dari Sing Yik Motors. Majlis berakhir pada jam 3 petang dan sebelum berpisah, para peserta konvoi mengambil peluang bergambar sekali lagi bersama En Simon Chuak dan semua kakitangan yang terlibat dalam program Ride Impian Sing Yik Motors Tapah ini.
Akhir sekali, saudara Zam selaku Presiden Kelab Komuniti CRS Perak Official mewakili semua peserta konvoi yang terlibat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengarah Sing Yik Motors Sdn Bhd, En. Simon Chuak kerana sudi menjemput bagi merealisasikan Ride Impian Kali ini. Tahniah diucapkan di atas pembukaan Cawangan Sing Yik Motors yang ke-3 di Tapah, Perak.
Perkongsian : Zam CRS Perak Official