Jika sudah minat, usia bukan satu masalah untuk mencapai cita-cita atau melibatkan diri dalam sebarang hobi yang menarik. Semuanya bergantung kepada usaha dan kesungguhan dalam menjayakan apa yang dihajati. Bak pepatah lama, kalau nak seribu daya dan tak nak seribu dalih.
Begitu juga kisahnya dengan saudara Firuss B. Ismail, walaupun sudah mencecah 52 tahun beliau tetap meneruskan minat dalam mengubahsuai motosikal. Bab usia bukan satu penghalang bagi saudara Firuss yang sudah pun berkahwin dan bertugas di salah sebuah syarikat swasta di Kulim. Berasal dari Kuala Kedah, kini beliau menetap di Kulim.
Dek kerana minat, beliau telah membeli Honda RS pada tahun 2017 yang masih dalam keadaan standard kilang. Selain Honda RS, beliau juga memiliki Modenas Kriss 110 sebelum itu. Meniti kembali sejarah permulaan, beliau belajar berjinak-jinak dengan motosikal sekitar tahun 1987 dan mula mengubahsuai motosikal pada tahun 1993. Ketika itu, motosikal yang menjadi eksperimen beliau ialah motosikal Modenas.
Sepanjang penglibatan dalam dunia permotoran dua roda, perjalanan paling jauh pernah disertai beliau ialah ke Grik, Perlis, Ipoh dan selatan Thailand. Di atas kekangan kerja, beliau terpaksa mengehadkan penglibatannya atau untuk menunggang motosikal lebih jauh lagi.
Menurut Firuss, beliau mula terdetik untuk mengubahsuai Honda RS ini selepas melihat beberapa motor menerusi perkongsian di Facebook dan majalah permotoran dari Thailand dan juga Vietnam. Manakala kedai yang telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan ubahsuai motor kesayangannya pula, kedai Motor Mutiara 218 yang terletak di Sungai Karangan Kulim.
Jika diperhatikan, cover set motor ini masih menggunakan yang asal. Pengubahsuaian yang dilakukan secara ekstrem dapat dilihat pada single arm set sport rim dari jenama Kozi Racing. Begitu juga dengan bahagian hadapan yang menggunakan sport rim set double disc serta fork upside down suspension juga dari Kozi Racing.
Bagi menambah cengkaman semasa membrek, Firuss memilih caliper set Kozi Alloy CNC Double di bahagian hadapan dan caliper KZR Y16ZR untuk bahagian belakang. Disc plate Kozi Y125ZR samurai yang telah dikustomkan untuk bahagian belakang. Sprocket belakang pula ialah TSR Exciter Y15ZR, custom tapak single arm. Rantai yang digunakan ialah O Ring Chain RK Gold 428. Kebanyakan alat ganti yang digunakan dari jenama Kozi Racing dan RCB Racing.
Tunggu dulu, masih belum cukup lagi. Bagi memastikan tunggangan lebih mantap, beliau turut menukar dan menggunakan monoshock dari Kozi Racing Suspension. Manakala untuk kelancaran dan kekuatan enjin, ECU Kozi Racing digunakan. Signal pula dari LED signal Kozi depan dan juga belakang. Cermin sisi juga dari jenama Kozi Racing. Selain itu rear fender ekor belakang dari Winner Kozi dan tail light Set Led Performance. Diikuti foot rest, brek, clutch lever, handle grip dan master pump alloy dari RCB Racing Boy. Side stand pula nampak lebih ranggi dalam warna titanium blue.
Motor ini disempurnakan dengan tayar depan 80/90-17 dari jenama Maxxis dan tayar belakang 140/70-17 dari kilang PG Lee Brother. Ekzos dipadankan dengan custom Muffle Box SC Project. Sementara itu, bahagian tengah dari LC135 dan manifold depan RS150.
Jika dilihat dari luarannya, mesti ramai beranggapan bahagian enjin turut diubahsuai. Hakikatnya, Firuss mengekalkan enjin standard cuma ECU ditukar. Kotak yang kecil di belakang hasil ubahsuai Firuss sendiri yang katanya dibeli dari Shopee dengan mengubahsuai tapak stand Givi. Memang sporty habis tapi tetap comel.