Jaguh Bikers Perak menghangatkan dunia permotoran dua roda dan suasana dengan penganjuran program konvoi yang dinanti-nantikan, Ride Santai Jaguh Bikers Perak. Bermula dari Ipoh ke Kuala Kangsar, Manong, Pantai Remis dan kembali semula ke Ipoh. Program ini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan ikatan sesama ahli kelab, tetapi juga meneroka keindahan Perak sambil merasai pelbagai juadah tempatan yang tidak boleh dilepaskan!
Para peserta terlebih dahulu berkumpul di MH Hotel, Ipoh sebelum bergerak ke destinasi pertama, Hentian Salak di Sg. Siput untuk bergambar. Selain itu, para peserta diberikan taklimat perjalanan dan diiringi bacaan doa. Selepas itu, peserta kemudian berkumpul di Pau Manong untuk merasai pelbagai jenis pau dan makanan lain. Antaranya seperti bihun sup dan nasi lemak yang terkenal di kawasan tersebut.
Seterusnya, para peserta konvoi menuju ke Pantai Remis untuk menikmati kari kepala ikan yang terkenal dengan resepi istimewa. Mereka juga mengambil kesempatan ini mencuba juadah lain seperti asam pedas, sotong, ayam dan udang celup tepung. Sebelum pulang, para peserta berhenti di Masjid Pantai Remis untuk menunaikan solat Zohor berjemaah.
Antara tarikan utama program ini ialah perjumpaan kelab yang memakai uniform kelab, berkongsi ilmu tentang motosikal Modenas Jaguh serta menguji prestasi motosikal setelah dibaikpulih. Selain itu, program ini juga memberikan peluang kepada ahli untuk menunggang motosikal secara konvoi dengan mematuhi undang-undang Malaysia dan meningkatkan kemahiran menunggang.
Lebih mengujakan apabila ramai orang awam dan juga kelab-kelab motosikal lain tertarik dengan keunikan Modenas Jaguh yang masih aktif di jalan raya. Ada juga ahli kelab lain yang ingin menguji kehebatan motosikal ini. Namun, satu insiden agak mencemaskan berlaku apabila salah seorang ahli mendapati motosikalnya tidak bergerak walaupun enjin masih hidup. Setelah pemeriksaan dilakukan, ternyata rantai motosikal telah hilang, mencetuskan gelak tawa dan tidak juga kehairanan.
Jaguh Bikers Perak berharap agar lebih ramai pemilik Modenas Jaguh di seluruh Malaysia akan menyertai aktiviti konvoi dan permotoran mereka pada masa akan datang. Dengan adanya acara seperti ini, mereka berharap dapat terus mengeratkan silaturahim dan mempromosikan keunikan motosikal Modenas Jaguh kepada lebih ramai peminat.