Pusingan ke-4 Kejohanan Motosikal Asia IDEMITSU FIM (ARRC) telah berlangsung dengan jayanya di Litar Antarabangsa PERTAMINA Mandalika di Indonesia dan menyaksikan pelumba Malaysia beraksi cemerlang. Md Akid Aziz yang mewakili pasukan PitsBike One Way JRT Tech2 Racing berjaya menyudahkan Perlumbaan 2 kategori Underbone 150cc di tempat pertama podium.
Pada awal perlumbaan, Farres Putra Mohd Fadhill dari pasukan CARDINAL FACTORY RACING TEAM mendahului di tempat pertama dan diikuti rapat oleh Akil di tempat kedua, diikuti Husni Zainul Fuadzy dari pasukan YAMAHA LFN HP969 INDONESIA Racing Team di tempat ketiga. Sepanjang perlumbaan, kedudukan tiga terpantas sering bertukar-tukar.
Malah, persaingan sengit turut melibatkan Adytya Fauzi dari pasukan RACETECH SIXY Racing Team, Fahmi Basam dari YAMAHA LFN HP969 INDOENSIA Racing Team dan Husni yang bergilir-gilir mendahului perlumbaan. Ketika ini, Akid berada jauh di belakang iaitu di P20.
Namun begitu, Akid bangkit dan mempamerkan semangat luar biasa dengan meluru ke hadapan di pusingan ke-7. Seterusnya berjaya memotong Husni di P1 sekali gus mengambil alih kedudukan. Akid kemudiannya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 15’36:473s dan meraih tempat teratas di podium. Diikuti Husni yang menduduki tempat kedua dengan masa 15’36:488s, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Murobbil dengan catatan masa 15’36:662s.
Tiga Terpantas – Perlumbaan 2
UB150 (Underbone 150cc)
1. Md Akid Aziz – PitsBike OneWay JRT Tech2 Racing Team (15’36:473s)
2. Husni Zainul Fuadzy – YAMAHA LFN HP969 INDONESIA Racing Team (15’36:488s)
3. M. Murobbil Vittoni – YAMAHA LFN HP969 INDONESIA Racing Team (15’36:662s)