Nama Buell mula diperkatakan sejak tahun 1983 apabila bekas jurutera Harley-Davidson, Erik Buell mengambil keputusan untuk membina jentera yang berbeza. Pada tahun 2021, nama Buell sekali lagi diperkatakan memandangkan Erik kini membangunkan motosikal di bawah nama Erik Buell Racing sekali gus melahirkan XBE tetapi ia masih lagi sebuah motosikal konsep!
Bagaimanapun, terdapat pelbagai ciri unik pada XBE ini yang benar-benar layak untuk diketengahkan. Sekali imbas, sesiapa sahaja tahu ianya Buell apabila melihat brek disk EBR. Di bahagian belakang, rim 6-point star dengan gaya tipikal jentera Buell sudah lagi tidak digunakan tetapi sproket masih lagi menggunakan jenama ini dan beberapa ciri lain sama dengan ICE Buell.
Sejak kebelakangan ini, ia membawakan perspektif baharu dalam industri iaitu ‘elektrik’ menjadi tunjang utama jentera Buell. Justeru, Fuell yang merupakan jenama elektrik untuk Buell ini bakal mengeluarkan Fllow, e-motosikal yang direka untuk kegunaan di jalan-jalan banda. Berbanding Fllow, XBE lebih kepada falsafah baharu jenama ini. Kalau diperhatikan, gaya cafe racer yang semakin hangat di pasaran boleh dilihat pada XBE ini.
Namun begitu, tiada sebarang spesifikasi yang mengiringi rekaan ini tetapi apa yang dapat dilihat adalah perbezaan ketara antara rekaan motosikal biasa dengan motosikal XBE ini. Pemaparnya telah disatukan di bahagian atas XBE untuk pemandangan penunggang. Ini memudahkan penunggang untuk melihat kelajuan, aras kuasa dalam masa singkat atau hanya sekali imbas.
Tidak dinafikan ada berbagai-bagai ciri yang melengkapi XBE ini tetapi panel sisi transparent berwarna jingga mungkin tidak diperlukan di situ kerana tidak diketahui fungsinya. Mungkin ia boleh membantu mengelak kaki daripada terkena komponen yang panas atau ia hanya sekadar hiasan. Buell atau Fuell, apa yang sesuai untuk dikeluarkan?
Sumber : Autoevolution