Aveta Malaysia terus menggegarkan industri motosikal tempatan dengan pelancaran dua model baharu yang menarik. Aveta Nova 250, skuter urban berkuasa yang menggabungkan kuasa, keselesaan dan praktikaliti, serta Aveta Marvel 150, motosikal gaya hidup yang direka untuk keseronokan tunggangan, ekspresi diri dan riadah hujung minggu.
Aveta Nova 250
Keseronokan, Mampu Milik, Berkuasa!
Aveta Nova 250 menjadi tumpuan rakan media dan merupakan segmen jentera Aveta mewakili evolusi terkini dalam siri Nova yang popular di Malaysia. Direka untuk penunggang yang mahukan lebih daripada sekadar perjalanan harian, Nova 250 menyatukan prestasi cemerlang, ciri premium, dan rekaan moden dalam satu pakej yang bergaya serta berkuasa.
 
 
Dikuasakan oleh sistem BOSCH EFI, jentera Nova 250 menawarkan prestasi yang lancar, efisien, dan konsisten dengan kuasa maksimum 25.5hp @ 8,250rpm, memastikan pecutan yang responsif sama ada di jalan bandar mahupun lebuh raya. Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Brek ABS Dua Saluran turut meningkatkan kestabilan serta keselamatan dalam pelbagai keadaan jalan.
Untuk kemudahan harian, Nova 250 dilengkapi ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 20 liter, cukup luas untuk menyimpan topi keledar full-face, beg, atau barangan harian.
 
 
Motosikal ini dipadankan dengan kamera hadapan bagi memberikan ketenangan minda ketika menunggang, manakala Sistem Kunci Pintar dengan fungsi penghidup tanpa kunci serta sistem anti-kecurian boleh laras menawarkan tahap keselesaan dan keselamatan yang lebih menyeluruh.
Penunggang turut akan menghargai tangki bahan api berkapasiti 12 liter yang membolehkan perjalanan lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak. Paparan TFT penuh warna bersaiz 7 inci memaparkan maklumat penting dengan jelas.
Manakala lampu utama LED dengan pencahayaan berperingkat menyerlahkan gaya tersendiri sambil memberikan tahap pencahayaan optimum. Bagi memastikan penunggang kekal berhubung dengan gajet anda, tambahan port USB Type-A dan Type-C Adalah satu kemestian.
 
 
Aveta Nova 250 adalah segmen motosikal yang disasarkan untuk penunggang harian, penunggang luar bandar, serta mereka yang ingin menaik taraf tunggangan sedia ada. Jentera ini menjadi penanda aras baharu dalam segmen skuter, sekali gus mendefinisikan semula pengalaman tunggangan moden.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna elegan; Emerald Green dan Metro Grey. Nova 250 menjadi simbol baharu keyakinan dan aspirasi Aveta dalam landskap motosikal tempatan. Dengan harga jualan RM14,388 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), ia menawarkan nilai luar biasa bagi mereka yang mahukan skuter berkuasa dengan harga mampu milik.

Lebih menarik, sebagai tawaran eksklusif pelancaran, 200 pembeli terawal Nova 250 akan menerima kotak simpanan berjenama GIVI berkapasiti 39L lengkap dengan rak, bernilai lebih RM750, secara percuma.
Aveta Marvel 150
Antara Gaya, Kebebasan dan Keseronokan
Bersama Nova 250 ketika perasmian, satu lagi model yang mendapat perhatian adalah Aveta Marvel 150. Sebuah motosikal kompak yang penuh karakter, dibina untuk mereka yang menunggang dengan semangat, hidup penuh tenaga, dan melihat setiap jalan sebagai pentas keseronokan.
 
 
Marvel 150 dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang, fork depan jenis terbalik (upside-down), serta klac tangan manual yang memberikan pengalaman tunggangan lebih tulen dan responsif.
Dengan jarak kelegaan tanah 140mm, model ini lincah dan serba boleh. Sesuai untuk tunggang harian di bandar mahupun pengembaraan ringan hujung minggu seperti aktiviti perkhemahan. Penunggang turut akan menikmati sistem lampu LED sepenuhnya, port pengecas USB Type-A, serta paparan meter digital penuh, menggabungkan fungsi dan gaya dalam satu rekaan yang moden serta kemas.
 
 
Sama ada untuk tunggang santai hujung minggu, perjalanan harian, atau sekadar menikmati keseronokan menunggang, Marvel 150 membawa keterujaan dalam setiap perjalanan. Ditawarkan dalam dua pilihan warna menarik; Sonic Blue dan Mocha Blaze. Ia menawarkan pengalaman menunggang menyeronokkan dalam pakej kompak, dengan harga jualan RM7,988 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
 
 























 
 