Lebih 65,000 orang pengunjung telah membanjiri Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) sempena penganjuran Kustom Kulture, Art Of Speed (AOS 2023) pada 29 dan 30 Julai lalu. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, pameran kenderaan kustom sama ada kereta mahupun motosikal khususnya yang datang dari luar negara berjaya mencuri tumpuan sepanjang AOS ini berlangsung.
Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh para penggiat dan pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat barisan tetamu antarabangsa terkenal dalam genre kustom yang hadir. Antaranya seperti Sunny Yano dan Hiro Wildman Ishii daripada MOONEYES, Rough Craft (Taiwan), Kustomstyle (Jepun) Vibes Magazine (Jepun), Dino Dalle Carbonare (Speedhunters), Ya Seat (Thailand) dan ramai lagi.
Manakala, buat julung kalinya Hot Wheels Legends Tour Malaysia dipersembahkan secara langsung di AOS 2023 dan menyaksikan ramai peserta mencuba nasib. Namun, nasib menyebelahi Mohd Shahlan Bin Mohd Nasir dengan kereta Proton Arena yang menjadi juara sekali gus mewakili Malaysia di peringkat akhir.
Selain itu, segmen Roda Rumble 2023 ; Two Wheels Gathering & Outdoor Festival yang dikelolakan oleh Retro Mania. Para pengunjung juga berpeluang mengikuti sesi tunggang uji Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph dan Harley-Davidson.
Lebih istimewa lagi, para pengunjung juga berpeluang menyertai segmen cabutan bertuah. Pada hari Sabtu, pemenang bertuah telah memenangi sebuah Zeus e-bike dan hari Ahad pula, hadiah utama merupakan Toyota Celica model tahun 1979. Pemenang cabutan bertuah dalam talian pula memenangi sebuah motosikal Honda e-DAX. Tahniah kepada semua pemenang.