Pusingan pertama dan juga pembuka untuk Kejuaraan Motosikal Asia FIM musim 2021 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 4 sehingga 6 June telah ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Penundaan ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di seluruh Asia sejak sebulan lepas.
Penundaan ini bersesuaian dengan permintaan majoriti dari pasukan serta para pelumba yang mengambil bahagian. Walaupun pusingan pembukaan untuk musim ini telah mendapat lampu hijau dan kebenaran dari kerajaan Malaysia, FIM Asia Road Racing Championship berdiri teguh dengan pasukan serta para pelumba dan mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua.
Sehubungan itu, kalendar baharu untuk musim 2021 akan diumumkan secepat yang mungkin.
Menurut Pengarah Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg, beliau bersyukur dengan keputusan kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana bekerjasama secara rasminya untuk sesi pembukaan musim ini yang telah pun diberikan kebenaran.
“Namun, disebabkan peningkatan kes covid-19 di negara ini, kami sebagai pihak penganjur, bersetuju dengan pandangan pasukan dan para pelumba yang mengambil bahagian. Ia adalah lebih baik untuk ditangguhkan daripada meneruskan dengan pusingan pertama. Kesihatan dan keselamatan pasukan dan para pelumba sentiasa menjadi keutamaan kami.”
“Pada masa yang sama, perjalanan yang melibatkan merentas sempadan antarabangsa dalam negara-negara Asia juga menjadi semakin sukar. Kawalan ketat di sempadan negara akibat peningkatan kes telah mengehadkan penerbangan keluar dan masuk dari negara-negara tertentu sekaligus menyukarkan pasukan merancang perjalanan.”
“Kami mohon maaf kepada para peminat sukan motor di Asia yang menanti-nantikan perlumbaan ini dimulakan. Bagi pihak Kejuaraan Motosikal Asia FIM, saya akan pastikan musim 2021 hanya ditunda dan akan diadakan selepas pertengahan tahun ini. Sementara itu, diharapkan semua orang kekal selamat dan jaga kesihatan. Marilah bersama-sama laksanakan tanggungjawab untuk mengawal penyebaran pandemik covid-19 ini agar sukan permotoran boleh kembali beraksi secepat mungkin,” kata Ron Hogg.