Satu kenyataan rasmi dikeluarkan semalam menyatakan bahawa perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) untuk musim 2020 telah dibatalkan. Keputusan ini diambil ekoran sekatan merentas sempadan serta prosedur kuarantin, malah kebanyakan pasukan serta pelumba antarabangsa tidak dapat hadir di lokasi yang dijadualkan. Persetujuan ini diambil selepas perbincangan di antara FIM Asia, pasukan serta pelumba dan juga promoter Two Wheels Motor Racing.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah kejuaraan ini sejak 25 tahun ia diadakan di mana satu musim terpaksa dibatalkan. Namun, krisis dunia yang sedang berhadapan dengan pandemik covid-19 menjadi punca utama di mana masih banyak negara melarang kegiatan merentas ke luar dari sempadan. Buat masa ini, ia sangat mustahil untuk meneruskan musim ini sekali gus membatalkan semua keputusan dan tiada sesiapa diumumkan sebagai juara tahun 2020.