Tips penunggangan motosikal ketika hujan kerap dibincangkan di mana-mana sahaja dan kebanyakannya menyentuh tentang teknik untuk penunggangan yang selamat semasa hujan lebat. Namun, terdapat beberapa perkara penting lagi yang perlu diawasi atau diperhatikan khususnya yang boleh mengundang bahaya.
Lopak
Jangan ambil mudah atau pandang remeh terhadap lopak-lopak yang ada di atas jalan raya. Mungkin ia kelihatan kecil tetapi jika anda sedang menunggang dengan kelajuan yang tinggi, potensi untuk berlanggar dengan dinding, tiang atau pokok memang sangat tinggi. Kalau bukan itu, ia juga boleh menyebabkan anda tergelincir kerana hilang cengkaman.
Selain itu, meredah lopak juga boleh menyebabkan air terpercik ke bahagian muka sekaligus mengganggu penglihatan. Selusuri lopak yang ditakungi air dengan perlahan-lahan untuk mengelakkan air mencecah bahagian enjin (bergantung kepada motor).
2. Lopak Besar Di Laluan Bertentangan
Perlahankan kelajuan motor anda sekiranya melihat lopak besar di laluan bertentangan. Kenderaan-kenderaan lain yang meredah lopak tersebut pada kelajuan tinggi akan menyebabkan air terpercik sehingga mengaburi pemandangan anda.
3. Tompokan Minyak
Keadaan jalan raya agak licin khususnya sebaik sahaja hujan turun kerana air yang membasahi akan mengeluarkan minyak-minyak di permukaan jalan raya. Mungkin juga kesan tumpahan minyak dari lori sampah. Jadi, perlahankan kelajuan motor anda terutama sekali apabila anda melihat minyak yang membentuk warna pelangi di atas jalan raya.
4. Kotor
Hujan yang lebat membersihkan segala kotoran dan batu-batu kerikil dari permukaan jalan raya dan terkumpul di bahagian selekoh. Justeru, berhati-hati dan perlahankan kelajuan motor setiap kali anda menghampiri selekoh khususnya selepas hujan.
5. Garis-garis Di Jalan Raya
Sesuatu yang agak janggal dan pelik apabila pihak berkuasa sering mempromosikan keselamatan jalan raya tetapi menggunakan cat yang licin di atas jalan raya. Lebih pelik lagi, cat ini ditandakan atau disapukan di kawasan berhenti sebelum memasuki selekoh. Cara yang paling selamat, perlahankan kelajuan motosikal anda.
Pastikan pendikit stabil dan jangan memotongnya sekiranya salah satu tayar kehilangan cengkaman. Ia hanya bersifat sementara dan anda hanya perlu mengawal pergerakan badan.