Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan JDT RACING TEAM mencatat kemenangan sulung musim ini apabila menjuarai perlumbaan ASB1000 dalam Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2025 (ARRC) yang berlangsung di Litar Mobility Resort Motegi, Jepun.
Seawal perlumbaan bermula, Hafizh melakukan permulaan cemerlang dengan mendahului saingan, diikuti rapat oleh Keito Abe (SDG HARC–PRO. HONDA PHILIPPINES) dan Sho Nishimura (JAPAN POSTHonda Racing) di tempat ketiga. Ketika saingan baru bermula, insiden membabitkan Azroy Hakeem Anuar (IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA) dan Apiwath Wongthananon (A1 ENERGY BMW RACING TEAM) menyebabkan kedua-dua pelumba utama ini tersingkir awal.
Menjelang pusingan ketiga, rakan sepasukan Azroy iaitu Muhammad Zaqhwan Zaidi berjaya memotong Sho untuk berada di tempat keempat, dan mula mengekori rapat pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat yang berada di kedudukan ketiga.
Keito Abe akhirnya berjaya memintas Hafizh pada pusingan keenam. Namun aksi penuh debaran tercetus di pusingan terakhir apabila kedua-dua pelumba saling bertukar kedudukan dalam pertarungan yang sengit untuk merebut tempat pertama.
Dengan strategi bijak, Hafizh menyerang semula di bahagian litar yang menjadi kelebihannya dan berjaya memintas Keito untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 24’09.165s, diikuti Keito (24’09.378s) dan Sho (24’12.201s) di tempat ketiga.
Menurut Hafizh, kemenangan ini amat bermakna setelah kehilangan keyakinan dalam sesi sebelum ini akibat kehilangan cengkaman di Turn 9. “Saya hanya memberi 95% kerana masih ragu-ragu dengan tayar, tetapi saya simpan tenaga dan lakukan serangan di tempat yang saya yakin. Ini bukan hujung minggu terbaik, tapi ia tetap satu kemenangan penting untuk saya dan pasukan,” katanya.
Top 5 Terpantas – Race 2
1. Hafizh Syahrin Abdullah – JDT RACING TEAM (24’09.165s)
2. Keito Abe – SDG HARC―PRO. HONDA PHILIPPINES (24’09.378s)
3. Sho Nishimura – JAPAN POSTHonda Racing (24’12.201s)
4. Nakarin Atiratphuvapat – HONDA RACING THAILAND (24’13.226s)
5. Muhammad Zaqhwan Zaidi – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (24’15.292s)