Program “Rapido X BOÉ Motorsports Meet & Greet with Moto3 Riders” yang berlangsung di Zenith Hotel Putrajaya pada 22 Oktober 2025 mempertemukan dua pelumba muda berbakat; Cormac Buchanan dan Ruche Moodley daripada pasukan BOÉ Motorsports. Kedua-dua pelumba Moto3 ini hadir sebagai duta rasmi Rapido, jenama aksesori motosikal tempatan yang semakin mengukuhkan kedudukannya di arena antarabangsa.

Selain sesi bertemu peminat, acara ini turut menjadi pentas utama bagi Rapido memperkenalkan tiga produk baharu iaitu Rapido 628 CNC Casting Rim, Rapido x CKJ Racing Ultra-Light Racing Pulley Pin, dan Rapido x CKJ Racing Front Fork Spring. Ketiga-tiga komponen ini direka dengan fokus kepada prestasi, ketahanan dan ketepatan teknikal, sesuai untuk kegunaan harian mahupun perlumbaan profesional.

Turut dipamerkan pada acara ini ialah barisan produk performance parts Rapido termasuk rim aloi ringan, cakera brek, penyerap hentak, dan sistem kawalan brek terkini, di samping beberapa jentera lumba sebenar yang menggunakan komponen Rapido dalam perlumbaan tempatan dan antarabangsa. Kehadiran dua pelumba antarabangsa tersebut memberi peluang kepada peminat untuk mendengar pengalaman mereka beraksi di pentas dunia serta pandangan tentang inovasi produk keluaran Malaysia.

Kerjasama strategik antara Rapido dan BOÉ Motorsports bukan sekadar simbol sokongan terhadap sukan permotoran, tetapi juga membuktikan kemampuan jenama tempatan untuk berdiri sebaris dengan pemain global. Dengan pelancaran produk baharu dan kolaborasi antarabangsa ini, Rapido terus mengukuhkan reputasinya sebagai jenama Malaysia yang membawa nama negara ke peringkat dunia selari dengan semangat “Ride with Style” yang menjadi identiti mereka sejak awal penubuhan.































