Skuter ikonik dari Itali, Lambretta tampil dengan imej klasik-model terbaharunya Lambretta J200 bersempena dengan acara tahunan Art of Speed 2026 ke-15. Skuter klasik yang direka untuk pengangkutan dua roda di bandar ini dipadankan dengan enjin penyejukan cecair berkuasa 174.5cc dengan hamburan kuasa sehingga 17.0hp. Ia dilengkapi dengan ciri-ciri moden seperti paparan digital TFT dan pencahayaan LED sepenuhnya.

Untuk info, skuter ini menghidupkan semula legasi model terdahulu dari keluarga Lambretta Siri J yang cukup popular pada era tahun 1960-an. Namun, model ini dipertingkatkan dengan beberapa teknologi digital dan mekanikal moden khususnya bagi mereka yang mahu menjadikan jentera ini tunggangan harian dan kesesakan di bandar.
Ia menggunakan enjin 174.5cc, silinder Tunggal, 4-lejang, 4-injap dengan sistem penyejukan cecair (liquid-cooled). Model ini dipadankan dengan sistem bahan api jenis elektronik (EFI) daripada jenama Bosch.

Bagi memastikan skuter ini bergerak agresif kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sekitar 16.8hp hingga 17hp dengan tork sekitar 15.5Nm. Jentera ini bergerak dengan transmisi automatik CVT manakala kapasiti tangka bahan api boleh menampung sehingga 9 liter.
Bagaimanapun tanda harga bagi model Lambretta J200 masih menjadi tanda tanya dengan pihak Lambretta Malaysia masih belum mengumumkan tag harga rasmi model terbabit.
Difahamkan model ini akan dtawarkan pada tag harga di bawah RM20,000 atau sekitar RM16,000 hingga RM18,000.

Bagi mereka yang berminat boleh membuat tempahan awal di 10 pengedar sah di seluruh Malaysia termasuk Shah Alam, Kota Bharu dan Setapak yang merupakan bilik pameran Baharu Lambretta di Malaysia.
Lambretta Siri J
• Kemunculan semula ikon – Menghidupkan kembali legasi Lambretta Siri J model lagenda yang diinspirasikan oleh model klasik J50, J100 dan J125 Starstream dari era 1960-an.
• Reka Bentuk Gaya Itali – Menggabungkan gaya warisan Lambretta dengan kejuruteraan dan teknologi moden.
• DNA Lambretta Tulen – Menampilkan kerangka keluli sepenuhnya, lampu hadapan heksagon yang ikonik, reka bentuk yang rendah dan panjang, serta sistem suspensi hadapan ‘Double Arm-Link’ yang menjadi ciri khasnya.
• Ciri-ciri Moden – Dilengkapi dengan sistem pencahayaan LED penuh dan paparan digital TFT untuk keterlihatan, ketersambungan serta kemudahan penunggang yang lebih baik.
• Enjin – Enjin 174.5cc sejukan cecair yang menghasilkan kuasa 17.0hp.
• Keselesaan & Praktikaliti – Ketinggian tempat duduk 790mm, ideal untuk tunggangan harian dan kesesakan di bandar.
• Dibina Bagi Kemudahan di Bandar – Direka untuk memberikan pengendalian yang tangkas, prestasi yang lancar dan pengalaman tunggangan premium.

Pengenalan Siri J mencerminkan komitmen berterusan Lambretta dalam menggabungkan warisan dengan inovasi, menawarkan skuter yang meraikan reka bentuk Itali yang menjangkau lebih tujuh dekad sambil memenuhi tuntutan gaya hidup bandar moden.






















