Sejak kebelakangan ini, kebanyakan pengeluar motosikal mempunyai interpretasi tersendiri apabila menyentuh tentang jentera middleweight gaya retro dan sering kali kita dengar sebagai “neo-retro” dalam industri. Ia merujuk kepada motosikal model baharu yang direka dengan gaya retro dari sportbike CB650R hingga gaya vintaj Triumph yang lebih dikenali kerana prestasi bukan sekadar penampilan.
Salah satu motor yang menepati ciri-ciri neo-retro ialah Husqvarna Vitpilen 701 dengan hanya menampilkan lampu depan bulat dan bahagian ekor yang diilhamkan dari motor-motor bergaya retro. Badannya yang langsing dan juga penampilan estetik menjadikan ia sebuah jentera yang pantas dan juga lincah. Apa tidaknya, ia menggunakan enjin single-cylinder 693cc, salah satu thumper berkapasiti paling luas yang ada di pasaran buat masa ini.
Tidak hairanlah, Vitpilen 701 menjadi platform kegemaran ramai khususnya pembina motor kustom untuk menterjemahkan kreativiti mereka. Pelbagai jenis dan corak kustom dibina sebelum ini ke atas Vitpilen 701 dan apa yang ada ini adalah salah satu motor kustom yang dibina oleh GRMoto yang dikenali sebagai Yellow Arrow.
Yellow Arrow ini ialah sebuah Vitpilen 701. Tidak kira macam mana dan bagaimana cara anda lihat, ia masih Vitpilen 701 walaupun telah dimodifikasi dan menjadikan ia tampil lebih menyerlah. Apa yang lebih menarik, GRMoto menawarkan kit yang dapat dilihat pada motosikal ini dan ianya sesuai untuk semua tahun keluaran Vitpilen 701.
Di bahagian hadapannya, lampu bulat tetap dikekalkan tetapi dengan penutup kepalanya yang lebih kecil agar tampil lebih sporty. Radiator ditutup dengan penutup berwarna kuning, begitu juga dengan belakang enjin agar kelihatan semi-faired. Semestinya Vitpilen 701 ini kekal sebagai jentera prestasi dan GRMotor telah memuatkan beberapa kemaskini untuk mengekstrak lebih kuasa darinya.
Di bahagian hadapan, fork juga telah dikemaskini dengan shock Showa. Bagi memberikan daya pemberhentian yang cekap dan tepat, kaliper brek Brembo M50 telah digunakan dan sistem ekzos kilang dengan penutup CNC serta pelindung tanya gaya superbike.
Sumber : Rideapart / GRMoto