Alkanz Hadramawt di Sungai Petani bergema dengan berlangsungnya Mega Gathering 6.0 EXN bersama RSX Northern yang diadakan pada 21 Jun lalu. Program ini diusahakan oleh Che Lan dan Cheff Roy bersama sokongan barisan admin RSX Northern yang terlibat secara langsung dalam penganjuran acara tersebut.
Buat julung kalinya, acara mega ini berjaya menghimpunkan lebih 500 orang peserta dan penyokong dari pelbagai kumpulan dan kelab permotoran. Antara yang hadir termasuk RSX RS Taiping Crew, Kelab Gabungan Permotoran Kelantan, Kelab Gabungan RS RSX Utara, Komando C70 Klasik serta wakil dari Mega Gathering RS150 RSX Winner.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan untuk menceriakan acara, antaranya pertandingan Auto Show, cabaran membawa motosikal paling perlahan ke garisan penamat, dan juga pusingan angka lapan di antara lima buah kerusi, di mana pemenang ditentukan berdasarkan catatan masa terpantas.
Tidak ketinggalan, sesi cabutan bertuah turut menjadi salah satu tarikan utama buat para peserta. RSX Northern Official selaku penganjur telah menyediakan pelbagai hadiah menarik dengan sokongan padu daripada para penaja.
EXN tampil sebagai penaja utama bagi program ini, disertai oleh jenama lain seperti Arisun Tyre, RK-M, Koyoko, Keith, Aces, Onza, Ucan Helmet, Shahbrotherzz, Shamx Empire Network, Foxdry, Cardo, PPR Racing, KZR, dan CKT Motor yang turut menyumbang kepada kejayaan acara.
Acara bermula seawal jam 10.00 pagi dan berakhir sekitar jam 5.00 petang dengan segala perjalanan program berlangsung lancar. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua rider yang hadir memeriahkan suasana. Nantikan pula acara seterusnya — Fiesta Honda 150 yang dijangka tidak kurang hebatnya!