Sempena sambutan kemerdekaan yang lalu telah berlangsungnya program konvoi anjuran CL Motorsport Resources, Experience Kedah Ride Jalur Gemilang. Program ini diadakan pada Sabtu bersamaan 29 Ogos yang lalu bermula jam 3.00 petang. Penganjuran konvoi ini bertujuan membakar semangat perpaduan menerusi penyertaan “Konvoi Jalur Gemilang”.

Seiring dengan slogan “Yang Kental Pasti Sampai”, program ini berjaya menghimpunkan hampir 30 buah pelbagai jenis motosikal yang disertai oleh para penunggang sambil membawa serta mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Laluan kembara konvoi ini bermula dari Alor Setar, melintasi kawasan Sungai Limau, Yan. Destinasi penamat bagi kembara ini adalah menuju ke puncak Gunung Jerai yang terletak pada ketinggian 1,217 meter.
Sepanjang kembara dijalankan, perjalanan konvoi dilaporkan berjalan dengan cukup lancar dari tempat pelepasan hingga ke lokasi destinasi. Kelancaran pergerakan ini turut disokong oleh faktor keadaan cuaca yang sangat baik sepanjang tempoh tunggangan. Acara yang berunsurkan semangat patriotisme ini dapat disempurnakan dengan penuh jayanya tanpa sebarang masalah.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini berjaya menzahirkan nilai kebersamaan dan kecintaan kepada negara menerusi aktiviti permotoran. Kejayaan konvoi ini membuktikan bahawa semangat perpaduan dapat terus disemarakkan di atas jalan raya menerusi penglibatan komuniti dua roda.

















