Bermacam-macam warna, bermacam-macam ragam motosikal dapat ditemui di Central Square Sungai Petani yang dipilih sebagai lokasi berlangsungnya Motorcycle Show Competition 2022. Diadakan pada hujung minggu 17 September yang lalu, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja dari para pencinta permotoran dua roda tetapi juga dari para pengunjung yang teruja melihat barisan motosikal cantik ini.
Bermula dari pukul 2.00 petang, program ini dianjurkan oleh Kembara Live dengan kerjasama Central Square Sg. Petani. Sebanyak dua kategori telah dipertandingkan iaitu kategori Klasik dan juga Modern / Extreme. Tapak penganjuran ini menjadi tumpuan sehingga berakhirnya program Motorcycle Show Competition sekitar pukul 6.00 petang.
Sebagaimana yang dinyatakan awal tadi, program ini mendapat sambutan serta penyertaan yang cukup menggalakkan dari para peserta. Sebanyak 90 penyertaan diterima untuk kedua-dua kategori yang dipertandingkan tadi. Program bertambah meriah dengan aktiviti sampingan yang turut disediakan pihak penganjur.
Selain dua kategori utama yang dipertandingan, turut menarik perhatian para pengunjung pastinya persembahan busker dan cambutan bertuah. Bukan itu sahaja, para penunjung juga berpeluang menyaksikan segmen sampingan yang turut diadakan iaitu SP Car Audio Showcase.
Sekitar pukul 6.00 petang, program melabuhkan tirainya dengan majlis penyampaian hadiah yang disampaikan oleh pegawai khas portfilio Exco YB Dr Robert Ling Kui Ee. Akhir sekali, kami di Roadstar mengucapkan jutaan tahniah kepada para pemenang dan semestinya pihak penganjur yang bersungguh-sunggah menganjurkan program ini.