Dataran Amanjaya Mall Sungai Petani dibanjiri pengunjung sempena penganjuran Karnival Sejahtera Prihatin Negara yang diadakan selama tiga hari bermula dari 22 September hingga 24 September yang lalu. Karnival Sejahtera Prihatin Negara ini merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah.
Pelbagai aturcara telah dipadatkan sepanjang tiga hari karnival dijalankan dan kemuncaknya pada hari terakhir di mana turut berlangsung Kedah Motor Fest 2022. Peluang diberikan ini tidak dilepaskan para pencinta permotoran dua roda yang meluangkan hujung minggu untuk berkumpul tanpa mengira usia seiring matlamat penganjuran program ini diadakan.
Menurut Pengarah Kedah Motor Fest 2022, Nurul Amin Hamid, matlamat penganjuran Kedah Motor Fest 2022 ini adalah untuk menghimpunkan dan menyatukan para peminat dunia permotoran dua roda dari pelbagai lapisan umur tanpa mengira latar bangsa dan agama.
Sebagaimana yang dinyatakan awal tadi, pelbagai aturcara telah disusun oleh pihak penganjur antaranya seperti pameran dan jualan dari badan-badan kerajaan, pihak swasta seperti JPJ juga PDRM. Pihak PDRM turut membuka kaunter dan memberikan pengurangan saman lampau sebanyak 50% sepanjang Kedah Motor Fest 2022 ini berlangsung.
Bagi menyemarakkan lagi program ini, turut diselitkan acara dakwah sebagai pengisian kerohanian terhadap disamping perkongsian dari pimpinan anak muda tentang belia mahir dan keperluan masa kini. Program bertambah serinya dengan kehadiran artis jemputan seperti Zul Huzaimy yang popular dalam kalangan pencinta motor sebagai Spark.
Satu lagi aktiviti yang berjaya menarik perhatian ialah pertandingan motosikal tercantik dan menyaksikan motor-motor yang diubahsuai cukup unik. Ini diikuti pula sesi cabutan bertuah yang disediakan pihak penganjur yang menawarkan 3 buah motosikal Y16 sebagai hadiah utama.
Majlis penutupan Kedah Motor Fest 2022 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md. Nor turut dihadiri YB Datuk Haji Awang Bin Hashim, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan En. Abd Aziz Bin Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Menurut Menteri Besar, kerajaan bercadang untuk menganjurkan satu lagi acara permotoran pada bulan Disember ini susulan sambutan luar jangkaan yang diterima Kedah Motor Fest kali ini. Dikatakan, kehadiran pengunjung mencecah seramai 16,000 orang samada dari dalam negeri dan juga luar negeri Kedah yang membabitkan pelbagai kategori motosikal.