Penganjuran Himpunan Bermotor Sempena Karnival Anak Muda Melaka telah berlangsung dengan jayanya bertempat di MITC, Melaka pada 4 hingga 6 September 2026 yang lalu. Acara berprestij ini dianjurkan secara rasmi oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf sebagai perancang utama dalam usaha menginspirasikan program permotoran bagi mendekatkan diri bersama golongan pelbagai peringkat umur khususnya golongan muda. Bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka dan Legacy 04 di bawah nama program Legacy04 Melaka Attack 2026.

Kejayaan dan kelancaran perhimpunan skala besar ini merupakan hasil gabungan idea daripada empat orang penganjur yang juga merupakan anak jati Melaka. Barisan individu di sebalik penganjuran ini terdiri daripada Ahmad Muhalim Umar, Mohd Ibrahim Bin Abu Hasan (Amat Ayam), Muhammad Azzizat bin Zainol, serta Mohamad Arif Bin Mohamad.
Hasil gandingan dan perancangan teliti keempat-empat penganjur ini secara tidak langsung telah mencetuskan sebuah acara bermotor yang berjaya menghimpunkan peminat dunia permotoran dari pelbagai daerah dan negeri di bawah satu bumbung.

Kemuncak acara turut diserikan dengan kehadiran barisan tetamu kehormat yang menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hadir menyempurnakan majlis perasmian dan penutup program. Acara berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf bagi menyokong penganjuran karnival anak muda ini.
Pengisian program yang berlangsung sepanjang hujung minggu berkenaan dibahagikan mengikut kategori, dengan segmen pameran kereta diadakan pada hari Sabtu manakala segmen motosikal pula mengambil alih tirai acara pada hari Ahad. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan termasuk Himpunan Bermotor Anak-Anak Melaka (LEGACY04), Autoshow Kereta yang dikendalikan oleh BDS Autoshow Komuniti, Autoshow Motor oleh EA RECREATION LEGACY, perlumbaan Pocket Bike serta acara Melaka Track Attack yang dikendalikan oleh P.A.D.A.T.

Bagi menghargai kehadiran para pengunjung, pihak penganjur turut memberi sebanyak 3000 buah helmet Limited Edition Keluaran YAB Ketua Menteri sendiri dan 5000 helai t-shirt percuma untuk peserta Karnival Anak Muda. Selain itu, sebanyak 43 unit motosikal disediakan sebagai hadiah Cabutan Bertuah termasuk sebuah motosikal Yamaha RXZ sebagai hadiah utama.
Secara keseluruhannya, Legacy04 Melaka Attack 2026 telah mencatatkan sambutan yang amat luarbiasa dengan merekodkan jumlah kehadiran keseluruhan melebihi 30,000 orang peminat motosikal dan kereta dari seluruh negara.

Penganjuran Himpunan Bermotor Sempena Karnival Anak Muda Melaka ini membuktikan kemampuan anak jati tempatan dalam mengendalikan acara berskala besar, di samping menjadi platfrom yang berkesan bagi menyatukan komuniti permotoran di Malaysia.






























