Walaupun hujan membasahi tapak acara, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat para peminat jentera klasik tanah air. Lebih 300 buah motosikal klasik berhimpun dalam satu pertemuan santai yang diadakan pada Februari lepas di Dataran. Meet & Greet Volume 2 anjuran Honda Republic Malaya ini menyaksikan kehadiran para penunggang dari seluruh pelosok negara. Ada yang datang dari Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor.
Tidak kira usia, dari remaja hingga warga emas berusia lebih 80 tahun, semua berkumpul demi satu minat yang sama. Minat dan cinta terhadap jentera klasik Honda C70, C90 dan seangkatannya. Berbekalkan semangat yang tetap kukuh dan jentera yang sudah siap sedia, para peserta yang hadir tekad dan kekal di tapak acara sehingga selesai.
Acara turut diserikan dengan kehadiran pempengaruh popular Minah Petai dan Paktamkuek dalam sesi meet & greet yang mencuri perhatian pengunjung. Kehadiran mereka bukan sahaja menghiburkan, malah turut menyemarakkan semangat komuniti jentera klasik yang semakin berkembang. Fenomena G70 bukan setakat nostalgia tapi satu gaya hidup yang makin diterima generasi baharu.
Ekoran sambutan yang memberangsangkan ini, satu lagi acara dikatakan bakal diadakan pada bulan November nanti. Kali ini, lokasi pilihan adalah di Perak. Namun, masih terlalu awal untuk diperkatakan dan sedang menunggu maklumat selanjutnya dari pihak penganjur Honda Republic Malaya.