Sejak kebelakangan ini, hangat diperkatakan tentang model-model terbaharu Harley-Davidson, antaranya Pan America dan Sportster S yang tidak dinafikan, inovasi yang benar-benar cemerlang sekaligus meluaskan serta menambahkan lagi peminatnya.
Perhatian yang sama turut diberikan kepada model-model yang lebih tradisional dan terbaharu adalah edisi terhad Street Glide Special. Ia menjadi kegemaran khususnya di kalangan para penunggang yang gemar menunggang untuk jarak jauh dan dalam masa sama, memberikan keselesaan tanpa membelakangkan gaya Harley-Davidson yang estetik.
Bagi memberikan sentuhan yang lebih menarik, Harley-Davidson telah mengeluarkan warna yang mampu memikat sesiapa sahaja yang memandang model popular ini yang digelar sebagai Arctic Blast. Seperti namanya, Street Glide Special Arctic Blast tampil lebih santai dan dalam masa yang sama, cantik.
Apa yang istimewanya? Kesemua 500 unit Arctic Blast yang dikeluarkan ini akan dicat tangan boleh pakar yang sangat dikenali, Gunslinger Custom Paint yang berlokasi di Colorado. Setiap satu unit Street Glide Special Arctic Blast ini juga dikatakan mempunyai nombor siri sendiri yang dicatkan atas tangki minyak.
Kalau dilihat dari gambar-gambar pun, rekaan elegan pada Arctic Blast ini jelas kelihatan. Jauh berbeza dengan model lama yang agak stereotaip dengan corak tengkorak serta api, Arctic Blast ini sangat menenangkan. Selain dari penampilan warna atau cat tangan tadi, tiada apa yang ditambah pada Street Glide Special ini.
Sumber : Rideapart / Cycle World