Pasaran motosikal tempatan terus dirancakkan dengan kehadiran Morbidelli C252V, sebuah jentera cruiser terbaharu yang meluncur secara rasmi di Malaysia pada harga RM16,988 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Ditawarkan menerusi MForce Bike Holdings Sdn Bhd, jentera yang menggabungkan reka bentuk klasik dan sentuhan teknologi moden ini telah pun diperkenalkan pada 29 Mei 2026 bersempena penganjuran MForce MotoXperience di MAEPS, Serdang. Bagi memenuhi selera penggemar cruiser, ia hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Bulk Black, Moss Green dan Urban Silver.


Nadi penggerak Morbidelli C252V dijana oleh enjin 249cc V-Twin (SOHC, 8-injap) penyejukan cecair bersama sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan pencucuhan T.C.I. Trenkuasa ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 25.8 PS (19 kW) pada 9,000 rpm dan tork setinggi 25 Nm pada 5,500 rpm. Hantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan gabungan slipper clutch, kawalan pendikit dwi-kabel, serta sistem pacuan tali sawat (belt drive) yang memberikan tunggangan lebih senyap dan lancar.
Dari segi pengendalian dan keselesaan, jentera dengan berat basah 177 kg ini menggunakan kerangka yang mempunyai ukuran jarak roda 1,575 mm serta kelegaan tanah 173 mm. Ketinggian tempat duduk yang rendah iaitu 690 mm menjadikannya sangat mesra penunggang, manakala kapasiti tangki bahan api 15.5 liter menyokong keperluan tunggangan jarak jauh. Tugasan suspensi digalas oleh fork terbalik (USD) di bahagian hadapan dengan jarak gerak 115 mm, manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak berkembar larasan prabeban dengan jarak gerak 47 mm.

Aspek keselamatan dan kawalan tunggangan turut diberi penekanan menerusi padanan sistem brek cakera tunggal pada kedua-dua bahagian yang dilengkapi sistem ABS dwi-saluran serta Traction Control System (TCS). Morbidelli C252V bergerak di atas rim jejari 16 inci yang dibalut tayar CST bersaiz 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang. Kombinasi ini bukan sahaja menawarkan cengkaman mantap, malah melengkapkan lagi identiti estetik sesebuah cruiser sejati.
Bagi memenuhi keperluan penunggang moden, motosikal ini dilengkapi sistem pencahayaan LED sepenuhnya merangkumi lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan (hazard lights). Perincian kemudahan lain yang turut disediakan merangkumi paparan meter LCD, port pengecasan USB Type-A, sistem kunci mekanikal, serta suis keselamatan tongkat sisi untuk ketenangan fikiran sepanjang perjalanan.

Setiap pembelian Morbidelli C252V didatangkan dengan jaminan waranti pengeluar selama 2 tahun atau 20,000 km (mana-mana terdahulu). Menariknya, sekiranya perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh yang ada. Pemilik juga menikmati kemudahan akses jualan alat ganti tulen secara dalam talian menerusi Morbidelli Malaysia.





























