Pelumba Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo menerima tamparan hebat dalam memburu kejuaraan sulung MotoGP Dunia musim ini selepas hanya menduduki tempat ke-18 daripada 20 pelumba pada Grand Prix (GP) Aragon di Sepanyol.
Pelumba Perancis berusia 21 tahun yang memulakan saingan di petak utama bergelut dengan masalah tayar selain terbabas dalam sesi kelayakan semalam, akhirnya menamatkan saingan dengan catatan masa 42 minit 15.889 saat.
Rakan sepasukan Franco Morbidelli dari Itali menduduki tangga keenam dengan catatan masa 41:59.147s. Keputusan menyaksikan Quartararo terpaksa menduduki tangga kedua keseluruhan MotoGP Dunia kepada pendahulu Joan Mir daripada pasukan Suzuki Ecstar yang menamatkan perlumbaan di tangga ketiga dengan catatan masa 41:57.035s.
Pelumba Sepanyol itu mendahului buruan gelaran juara dunia dengan mengumpul 121 mata dan 115 mata oleh Quartararo. Rakan senegara Mir, Alex Rins merangkul gelaran sulung musim ini apabila mencatatkan masa 41:54.391s manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Alex Marquez menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 0.263s pada perlumbaan 23 pusingan itu.
Sementara itu, dalam saingan Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing, Jake Dixon dari Great Britain mencapai keputusan terbaik musim ini dengan menduduki tempat keempat dengan catatan masa 39:42.500s manakala rakan sepasukan, Xavi Vierge dari Sepanyol hanya mampu menduduki tempat ke-16 daripada 27 pelumba dengan masa 39:59.949s.
Dalam saingan Moto3, pelumba Petronas Sprinta Racing — John McPhee dan Khairul Idham Pawi masing-masing menduduki tempat kelima dan ke-27. Perlumbaan ke-12 akan diteruskan di litar sama iaitu GP Teruel dari 23 hingga 25 Okt ini. — BERNAMA