Sebagaimana yang sedia maklum, Honda dikenali menerusi jentera prestasi tinggi tetapi dalam masa yang sama, jentera dua roda bersesaran kecil juga menjadi elemen yang membuatkan syarikat Ini terus berkembang. Honda menjual jutaan skuter dalam setahun itupun hanya di pasaran Asia.
Bercakap tentang model pengangkutan bersesaran kecil ini, Honda terus menawarkan lebih banyak model entry level dengan teknologi premium. Terbaharu ialah skuter Click 160, sebuah skuter praktikal dengan rekaan yang sporty. Skuter ini dilancarkan di Bangkok Motor Show yang menjadi penyambung kepada skuter paling popular di sana Click 150 yang menjadi kegemaran ramai peminat skuter di Asia khususnya.
Sekali imbas, ia jelas menunjukkan Honda telah memberikan penampilan motor-motor besar keluarannya kepada Click 160 ini. Fascia hadapannya pula kelihatan garang seakan gaya CBR. Click 160 ini juga diberikan rim aloi emas, menjadikan ia skuter yang tampil lebih sporty bila dipadankan dengan warna matte gray.
Dari segi prestasi pula, Click telah diberikan dengan enjin serupa seperti yang ada pada PCX 160. Ia terdiri daripada enjin satu silinder 156.9cc, penyejukan cecair yang disambungkan kepada skuter traditional CVT. Unit kuasanya pula pada 15hp, yang sesuai ditunggang sekitar bandar. Didatangkan dengan regulasi pembakaran terkini yang lebih kurang sama seperti standard Euro 4.
Sumber : rideapart