Sejarah awal penubuhan kelab bermula dari sekumpulan kawan-kawan lelaki berjiwa kental yang meminati sukan 2 roda dan menggelarkan diri sebagai Astoko dengan tagline, NEVERKOYAK. Pada awalnya, kumpulan ini dianggotai hanya 2 orang. Akhirnya, kerana minat yang sama dikongsi bersama rakan sekerja, akhirnya tertubuhlah Penang Port Rider Club atau PPRC.
Diketuai oleh saudara Ikram aka Karim Daud, PPRC telah mencatatkan keahlian seramai 100 orang yang terdiri dari rakan-rakan yang bekerja di pelabuhan Pulau Pinang dan kenalan senegeri. Kebanyakan jentera yang terlibat adalah jentera berkuasa 150cc (Y150) dan RS150. Namun begitu, keahlian terbuka kepada mana-mana jentera 2 roda untuk merapatkan lagi ikatan silaturahim dalam dunia permotoran di Malaysia.
Bagi makluman, PPRC telah menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang penubuhannya dan terbaharu adalah program FunXFun Ride To Janda Baik. Program ini diadakan selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Oktober yang lalu. Perjalanan dimulakan dari R&R Juru (Arah Selatan) Shell dimana para peserta berkumpul terlebih dahulu seawal 3.30 pagi sebelum bergerak. Selain melakukan riadah dan melancong bersama-sama, program ini juga memberikan peluang kepada ahli-ahli kelab untuk beramah mesra, mengukuhkan ukhwah dan dalam masa yang sama, mencipta kenangan bersama-sama.