Inisiatif Yamaha terhadap skuter elektrik dilihat sedang berjalan dengan cukup baik, apatah lagi dengan gambar-gambar curi skuter elektrik yang paling dinanti-nantikan E01 sudah pun hangat menjadi perbualan warganet. Walaupun dibalut tetapi sangat jelas yang ia bukan sekadar sebuah prototaip. Malah, ada sumber mengatakan yang Yamaha mengaturkan sesi tunggang uji di Jepun untuk mempamerkan skuter elektrik terbaharu ini.
Sebagaimana yang dikatakan awal tadi, walaupun ia dibalut tetapi ia mempunyai persamaan dan mungkin diinspirasikan dari rekaan YZF-R1 khususnya pada fascia skuter ini. Bukan itu sahaja, ada yang mengatakan dimensinya mirip skuter maxi Yamaha Nmax yang popular khususnya di negara-negara Asia serta Eropah. Tidak mustahil E01 ini bakal menjadi pengangkutan popular di beberapa pasaran. Itupun kerana ciri-ciri praktikal yang ada padanya seperti dua pelana dan pemegangnya.
Namun, mungkin ada sedikit kekurangan di bahagian kluster instrumen dengan pemapar LCD monokrom yang amat ringkas. Ia memaparkan status bateri di bahagian bawah, di tengah-tengah kluster. Begitu juga kelajuannya yang sangat retro. Bahagian sisinya dihiasi dengan pelbagai lampu. Ia turut dilengkapi dengan ABS dan isyarat telefon pintar – integrasi bluetooth pada telefon pintar. Perlu diingatkan, skuter ini hanya ujian dan Yamaha menyembunyikan beberapa informasi penting lain sehingga skuter ini betul-betul dilancarkan kelak.
Selain itu, skuter E01 ini menggunakan roda 13 inci di kedua-dua bahagian depan dan belakang, begitu juga dengan disk brake depan dan belakang yang dilengkapi dengan ABS. Dengan entri tanpa kunci, begitu juga dengan mode penunggangan yang pelbagai pada skuter ini. Dari sudut prestasi, Yamaha masih belum mendedahkan spesifikasi penuhnya. Menurut beberapa maklumat yang boleh dipercayai, skuter ini mampu mencapai jarak 40 sehingga 50 batu berbekalkan pengecasan tunggal.
Sumber : Rideapart