Hong Leong Yamaha Motor melancarkan motosikal auto klac 135cc paling berkuasa secara eksklusif untuk pasaran Malaysia. Motosikal Yamaha 135LC Fi yang dipertingkatkan ini menggunakan enjin Suntikan Bahan Api Klac Automatik 135cc EU4 baharu.
Menurut Pengarah Urusan Hong Leong Industries Bhd, Datuk Dr. Jim Khor berkata, model terbaharu ini dikatakan bakal memenuhi kehendak peminat motosikal di Malaysia. Model ini direka dan dibangunkan bukan sahaja untuk memenuhi apa yang majoriti penunggang motosikal di Malaysia mahukan sebagai pengangkutan harian tetapi juga terbukti sangat berkuasa di atas jalan raya.
Selain itu, penunggang motosikal juga boleh menikmati penunggangan yang lebih lancar dan menyeronokkan di atas kerangka badan yang lebih ringan serta aerodynamiknya yang telah dipertingkatkan. Bukan itu sahaja, keselamatan motor ini juga turut diperbaiki yang dilengkapi dengan brek cakera belakang dengan lengan ayun rekaan terbaharu untuk pemberhentian yang lebih berkuasa serta cemerlang.
Beberapa ciri lain turut dipasang ke atas motor ini termasuk lampu utama LED baharu, lampu belakang LED, lampu pilot dan penampilan Yamaha 135LC Fi ini lebih lasak. Model ini juga dilengkapi dengan speedometer digital yang memberikan lebih informasi berbanding versi sebelumnya. Tangki bahan apinya juga lebih besar iaitu 4.6L dan membolehkan penunggang menunggang dengan lebih jauh untuk setiap pengisian penuh.
Yamaha 135LC Fi baharu ini didatangkan dalam empat warna pilihan; Ruby Red, Crystal Cyan, Midnight Star dan Desert Storm Special Edition yang dilengkapi dengan Yamaha Premium Basket. Bakul premium Yamaha ini direka khas secara eksklusif untuk penunggang motosikal di Malaysia yang terdiri daripada bahagian terbuka dan tertutup untuk melindungi barang-barang peribadi (melindungi dari hujan). Ia juga dilengkapi dengan slot pengecas USB untuk memudahkan penunggang mengecas peranti elektronik.
Motor ini boleh didapati di setiap kedai motosikal di seluruh negara bermula dari 14 Mac ini dan harga saranan bermula dari RM 7,798.00 untuk warna standard dan RM 8,198 untuk Special Edition (tidak termasuk yuran pendaftaran dan insuran). Para pemilik baharu motor Yamaha 135LC Fi ini akan menerima pengunci cakera keselamatan dengan setiap pembelian.