Indian Motorcycle Malaysia di bawah edaran Spirit Lake Motor Sdn. Bhd. dan AFY Mobility Industries secara rasmi memperkenalkan siri Indian Scout 2025 di Bumirai Showroom, Petaling Jaya. Pelancaran yang disempurnakan oleh Pengurus Jenama Indian Motorcycle Malaysia, Encik Lai Wai Keat ini menandakan komitmen jenama tersebut untuk terus membawa model cruiser premium dan inovatif kepada peminat tempatan.
Menggabungkan warisan ikonik dengan teknologi moden, Scout 2025 kini hadir dengan enjin baharu Speed Plus V-Twin 60 darjah penyejukan cecair berkapasiti 1250cc, menghasilkan 105hp dan 108Nm tork. Untuk varian tertinggi Indian 101 Scout, enjin ditala semula dengan kuasa 111hp serta 111Nm tork, dipadankan transmisi enam kelajuan untuk tunggangan lebih lancar dan bertenaga sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam segmen cruiser bersaiz sederhana.
Lima model diperkenalkan untuk pasaran Malaysia iaitu 101 Scout (Premium Performance), Indian Scout Classic (Authentic & Timeless), Indian Super Scout (Nostalgic Cruiser), Indian Scout Bobber (Stripped & Raw) dan Indian Sport Scout (Aggressive Spirit). Setiap model hadir dalam tiga trim iaitu Standard, Limited dan Limited +Tech, lengkap dengan ciri moden seperti brek ABS, lampu LED, tiga mod tunggangan (Sport, Standard & Rain), kawalan cengkaman, penghidup tanpa kunci dan skrin TFT 4 inci dengan sistem RIDE COMMAND serta sambungan Bluetooth.
Selain prestasi dipertingkat, Scout 2025 masih mengekalkan karakter tunggangan khas model Scout; pusat graviti rendah, kedudukan pelana selesa dan DNA reka bentuk klasik yang sinonim dengan peminat cruiser. Ia direka bukan sahaja untuk prestasi, malah untuk keselesaan perjalanan jauh.
Pelancaran Scout 2025 ini menandakan langkah penting buat Indian Motorcycle Malaysia dalam memperkukuh kehadiran jenama ini di negara ini. Dengan akses pantas ke model global terkini, Spirit Lake Motor Sdn. Bhd. berhasrat untuk terus menginspirasi generasi baharu peminat motosikal Indian di Malaysia.