Baru-baru ini, kumpulan pengedar sah terbesar BMW, Mini dan BMW Motorrad di Malaysia, Auto Bavaria telah menganjurkan program ekspedisi eksklusif pertama merentas ke luar negara. Program Auto Bavaria Ride to Khao Yai ini dianjurkan sempena Motorrad Day di Thailand.
Ekspedisi yang selama 6 hari bermula dari 7 hingga 12 November lalu disertai seramai 20 peserta yang terdiri dari pelanggan Auto Bavaria yang dijemput khas untuk menikmati pengalaman berharga ini. Para peserta menunggang motor BMW Motorrad sejauh 3000km yang dimulakan dari bilik pameran Auto Bavaria Glenmarie menuju Khao Yai di Utara Thailand dan kembali.
BMW Motorrad merupakan seleksi luas superbike BMW dan menyaksikan para peserta hadir bersama motor kebanggaan masing-masing terdiri daripada motor seperti R 1200 GS, R 1250 GSA, S 1000 XR, R 1200 GSA, R 1200 RT dan R 1250 GSA. Para peserta konvoi berkumpul terlebih dahulu pada hari pertama di bilik pameran Auto Bavaria Glenmarie seawal 4.30 pagi dan merentas sempadan dengan selamat sekitar pukul 11.00 pagi. Kemudian, mereka berkumpul di Vista Hotel di Danok dan bertemu pula dengan kumpulan peserta dari Auto Bavaria Pulau Pinang.
Seterusnya, para peserta yang kini sudah membentuk satu kumpulan konvoi yang lebih besar dilepaskan menuju ke Route 41 Cowboy Town dan berkesempatan berhenti untuk sesi fotografi dan bersiar-siar melihat keindahan sekeliling. Pengembaraan diteruskan lagi selepas berhenti rehat dan mengisi minyak di Nakhon Si Thammarat dan Suratthani sebelum tiba di hotel penginapan, S22 Hotel di Suratthani. Namun begitu, perjalanan untuk tiba ke sini agak mencabar dengan hujan lebat dan banjir yang memberikan peluang kepada para pemilik Motorrad menguji ketahanan motor BMW ini.
Hari kedua bermula dengan perjalanan ke Prachuap Khiri Khan untuk makan tengah hari. Setelah menikmati makan tengah hari, para peserta meneruskan konvoi menerusi Ratchaburi dan Phra Nakhon Si Ayutthaya sebelum tiba ke destinasi seterusnya, Splendid Hotel di Khao Yai. Bagi perjalanan hari ini, para peserta mencatatkan perjalaan sejauh 1500 km tanpa sebarang masalah. Setelah berhenti di MF Motorrad II di Bangkok, para peserta telah diiringi beberapa pegawai polis trafik dan Marshal Thai yang meneruskan perjalanan ke Khao Yai.
Hari berikutnya, disediakan khusus untuk para peserta menjelajah sambil melihat beberapa monumen sami Thailand yang dihormati penduduk setempat dari abad ke-16, Luang Phor Thuad. Seterusnya, para peserta berhenti untuk menikmati minuman kopi di MidWinter Green, kawasan yang menjadi tarikan kepada para pelancong dengan bangunan unik pengaruh seni bina Eropah di Nakhon Ratchasima. Ini diikuti dengan perjalanan ke 8Speed di Khao Yai, lokasi pilihan untuk meraikan Motorrad Day. Bagi makluman, 8Speed merupakan trek motor untuk para peminat dua roda yang untuk menguji kehebatan motor masing-masing.
Keesokan harinya, para pemilik Motorrad bergerak keluar dari Splendid Hotel untuk pengembaraan seterusnya. Perjalanan diteruskan, para peserta mengisi petrol dan berehat di Nonthaburi dan Phetchaburi sebelum berhenti di Cha-am, Hua Hin untuk makan tengah hari. Seterusnya, para peserta meneruskan perjalanan menerusi Prachuap sebelum tiba ke hentian terakhir di Nana Beach Resort di Chumphom. Di sini telah berlangsungnya majlis makan malam yang dianjurkan Auto Bavaria sebagai penghargaan kepada para pelanggan setia dan menyediakan platform untuk para pemilik Motorrad berkenalan dan bermesra antara satu sama lain. Bagi memeriahkan lagi majlis ini, pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti lain termasuk barbeku serta persembahan muzik.
Pada hari kelima pula, menyaksikan para peserta konvoi bergerak dari Nana Beach Resort ke Chumphon dan singgah sebentar di PTT Transformer. Di sini, para peserta mengambil kesempatan merakam kenangan bersama Transformer “Bumble Bee” saiz gergasi yang menyambut kedatangan para pelancong di Suratthani. Perjalanan diteruskan lagi ke Nakhon Si Thammarat dan Phattalung sebelum bermalam di Crystal Hotel di Hatyai.
Hari terakhir iaitu pada 12 November, para peserta ekspedisi ini memulakan program dengan bersarapan di hotel sebelum merentasi sempadan Sadao untuk kembali pulang ke Malaysia. “Jadual perjalanan yang disediakan cukup baik dan sungguh menyeronokkan,” ujar Derek Clyde, salah seorang peserta. “Ia merupakan usaha yang cukup baik oleh Auto Bavaria yang menyediakan pengalaman meunggang yang tidak dapat diberikan oleh sesiapa pun.”
Kejayaan program ini mendorong Auto Bavaria untuk menganjurkan lebih banyak program serupa di masa akan datang, sama ada di peringkat tempatan atau luar negara khusus untuk pelanggan Motorrad. Keseluruhan pengembaraan ini memberi fokus terhadap pengalaman menunggang secara eksklusif diikuti layanan mesra yang disediakan Auto Bavaria. Terdapat beberapa kereta sokongan, van dan juga kru teknikal untuk membantu sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Bukan itu sahaja, kru hentian pit juga disediakan untuk memberikan pelanggan Auto Bavaria minuman sejuk dan tisu basah. Lebih istimewa lagi, jurugambar profesional dan kru video turut hadir bagi merakamkan saat-saat penting dan indah untuk para peserta. Kepada para pemilik BMW Motorrad, penyertaan anda dialu-alukan dan sekiranya berminat, layari laman sosial Facebook atau Instagram untuk maklumat lanjut.