Pengubahsuaian skuter agak baru di Malaysia. skuter itu sendiri bukanlah satu tunggangan pilihan sehinggalah pertengahan tahun 2000 di mana Suzuki mula memperkenalkan V100 dan VS125. Detik ini memulakan semarak peminat skuter tempatan sehinggalah lahir motosikal berkonsepkan automatik yang lebih banyak. Hari ini, setiap pengeluar mempunyai motosikal moped automatik sendiri dan jualannya dikhabarkan sentiasa meningkat setiap tahun.
Pengubahsuaian skuter adalah budaya yang telah lama bertapak di Jepun. Walaupun ketika Suzuki VS125 tidak lama dahulu popular, namun tema pengubahsuaian sangat berbeza di mana penumpuan lebih diberikan pada sistem audio dan juga kemasan kit badan. lama selepas pendedahan laman web yang mudah diakses, peminat tempatan mula mendapat idea dari pengubahsuaian dari negara matahari tersebut.
Di Pantai Timur Sabah, trend skuterism ini telah menular sejak beberapa tahun yang lepas. Kelompok generasi baru ini menggunakan motosikal moden, rata-ratanya Yamaha Ego S. Dengan casis yang kecil, enjin ‘mini’ yang mudah diubahsuai kedudukannya menjadikan motosikal ini popular diubahsuai kebelakangan ini.
Tema pengubahsuaian juga berbeza-beza. Ada yang menggunakan konsep animasi seperti Hello Kitty, ada yang menggunakan konsep brutalism militari seperti ini. Apa juga tema yang dipilih, semuanya berdasarkan citarasa masing-masing. Apa juga yang dilakukan, mereka mempunyai satu persamaan; enjin masih sama, mereka tidak berminat dengan faktor kuasa. Rata-rata motosikal ini menghabiskan masa di petak pertandingan dan pameran. Contoh terbaik dilakukan oleh Norman yang berasal dari Penampang ini. Idea yang dicurahkan pada motosikal ini benar-benar melangkaui imaginasi sesetengah orang.
Enjin motosikal dileraikan terlebih dahulu untuk mendapat struktur binaan yang dirancang. Ukuran dibuat dan pemacu akhir tersebut diposisikan lebih 30 sentimeter dari kedudukan asalnya. Ia ditampung oleh sepasang cagak baru yang diperbuat daripada besi tempa. Tidak perlu khuatir kerana enjin ini bersaiz kompak dan pengalihan ini juga membawa bersama roda belakang.
Sistem brek ditingkatkan dengan cakera 260mm di hadapan KTC dengan pengangkup berkembar. Saiz itu memenuhi bahagian roda yang menempatkan tayar Swallow berukuran 100/80-14. Sementara itu brek belakang dipasang dengan set dari Racing Boy yang bertugas memperlahankan roda 14 inci yang disalut tayar bersaiz 140/60-14-saiz paling besar yang boleh dimuatkan pada rim ini.
Bar hendal direka semula dengan gaya chopper custom. Kedudukannya cukup tinggi seakan-akan sebuah monkey bar pada easy rider. Keselesaan bukanlah faktor capaian utamanya, yang penting ia nampak bergaya. Badan motosikal dilayangkan dengan warna hijau militari tetapi bukan matt, lebih kilat yang dipadankan dengan skema hitam di bahagian lantai.
Sosok tubuh Yamaha Ego S yang kecil berubah 360 darjah selepas semuanya siap. Sejujurnya, ia sebuah binaan yang unik dan jarang ada yang berani memilih konsep sebegini pada motosikal mereka. Ia bukanlah idea luar biasa di Jepun atau Amerika tetapi menghasilkannya di Malaysia (lebih-lebih lagi di Sabah!) adalah satu tindakan berani yang wajar diberikan pujian.
Diharapkan hasil seni begini mendapat pengaruh dalam kelompok skuter di Malaysia. Saya sendiri terkejut sebenarnya tapi ini baru permulaan. Banyak lagi koleksi dari Sabah yang menarik dan bakal dipaparkan dalam keluaran akan datang! Stay tuned!