Penantian sekian lama berakhir untuk ‘road racing’ helmet premium SHOEI berakhir setelah X-Fifteen mendarat di pasaran Malaysia. Pengedar sah SHOEI Malaysia, Sinar Puncak Sdn Bhd telah melancarkan X-Fifteen secara rasminya di Lightbox, Sungai Buloh baru-baru ini.
SHOEI Malaysia telah menjemput 100 Pemilik X-Fifteen untuk menghadiri majis previu yang eksklusif ini. Seratus pemilik pertama X-Fifteen ini berpeluang memilih grafik dan menentukan saiz melalui sesi Sistem Penyesuaian Peribadi (PFS) X-Fifteen. Setiap pemilik menerima set hadiah X-Fifteen eksklusif terhad.
Salah satu ciri utama X-Fifteen ialah ianya dibina menggunakan teknologi terkini SHOEI dengan menyelaraskan kemudahan terowong angin jenama inil. Ia menghasilkan kecekapan aerodynamik pada kelajuan tinggi sehingga 350km/j.
Selain itu, ia juga meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi dengan mengutamakan pengurangan tekanan negatif sebanyak 6.1% dan pengurangan angkat sebanyak 1.6% berbanding dengan pendahulunya.
Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan Multi-Ply Advanced Integrated Matrix Plus (AIM+) Shell, enam lapisan matriks gentian kaca yang ringan, organik dan juga gentian prestasi tinggi. Kerangka yang tahan lasak ini sangat efektif menyerap hentakan dan dalam masa yang sama kekal elegan. Justeru, ia direka untuk menjadi helmet khusus perlumbaan yang menjanjikan prestasi cemerlang dan juga selamat.
Antara ciri-ciri lain seperti;
– Penyerap EPS Multi-Bahagian/Multi-Ketumpatan
Penggunaan ketumpatan busa yang berbeza untuk mengoptimakan penyerapan hentakan di sekitar kepala.
– Reka bentuk yang lebih kompak dan ringan.
– Ventilasi dan aliran udara yang dioptimumkan dengan tujuh lubang udara boleh ditutup dan enam lubang udara keluar, udara panas dilepaskan dengan cekap.
– Terowong EPS dari 6mm kepada 10mm, jumlah udara sejuk dipertingkatkan untuk mempercepatkan pengeluaran udara panas
– Sistem penyejukan pad pipi yang inovatif, mempunyai lebih banyak lubang udara untuk keselesaan tambahan.
Bagi meningkatkan lagi keselesaan, padding berbentuk poket dengan lapisan yang boleh dikeluarkan telah diperkenalkan menerusi helmet X-Fifteen ini. Kedudukan topeng boleh diubah mengikut mekanisme penyesuaian sudut sebanyak 4 darjah, sekali gus meningkatkan luas penglihatan penunggang khususnya ketika berada dalam kedudukan perlumbaan yang ekstrem.
Satu lagi keistimewaan X-Fifteen ini, ia mematuhi standard keselamatan homologasi ECE22.06 dan FIM terkini. Didatangkan dengan visor CWR-F2R yang tahan kabus tanpa mengira apa juga keadaan cuaca. Penglihatan para penunggang dijamin lebih cerah dan jelas.
X-Fifteen ini pastinya memenuhi citarasa para penunggang motosikal khususnya yang menggemari penunggangan yang lasak. Boleh didapati dalam pelbagai warna dan grafik, SHOEI menawarkan saiz dari XS hingga XXL dan ditawarkan pada harga runcit RM2,850 untuk versi biasa. Manakala untuk grafik, harga yang ditawarkan pula RM3,350 dan Riders Replica pada harga RM3,500.