Jenama motosikal elektrik (EV) terkemuka di peringkat global – YADEA, secara rasminya telah melancarkan YADEA GT20, model terbaharunya yang kini berada di pasaran di Malaysia. Jentera dengan gaya urban dan minimalis, cukup popular dan menarik perhatian pengguna masa kini.
Untuk info, model YADEA GT20 dikuasakan dengan motor jenis wheel hub bersama kuasa nominal 2,000W dan kuasa puncak sehingga 3,200W yang memberikan tork maksimum 160Nm, sangat berprestasi untuk menempuh perjalanan bandar harian.
Motosikal ini juga mampu mengharungi cerun dengan kecondongan sehingga 15 darjah, menjadikannya sesuai untuk kawasan berbukit dan laluan mencabar. Bahagian roda pula menggunakan rim aloi aluminium MT2.15-12, dipadankan dengan tayar bersaiz 90/80-12 di hadapan dan belakang.
Di bahagian pemberhentian, YADEA GT20 menggunakan sistem brek cakera pada kedua-duanya digabungkan dengan teknologi CBS, yang meningkatkan keselamatan khususnya semasa brek mengejut. YADEA GT20 menggunakan bateri graphene berkapasiti 72V38Ah, mampu menjana motosikal pada jarak perjalanan anggaran sejauh 105kilometer pada satu cas penuh.
Proses pengecasan mengambil masa sekitar 6 hingga 8 jam menggunakan pengecas 72V6A, manakala kitaran hayat bateri mampu mencecah sehingga 500 kali cas. Motosikal ini turut disokong oleh sistem penjanaan semula tenaga (energy recycling), membantu mengekalkan tahap kuasa ketika membrek atau menuruni cerun.
Dari segi dimensi, YADEA GT20 berukuran 1,857mm panjang, 690mm lebar dan 1,120mm tinggi, dengan ketinggian tempat duduk 768mm dan panjang tempat duduk 700mm yang sangat sesuai untuk kebanyakan penunggang.
Ia turut menawarkan kelegaan tanah antara 140mm hingga 150mm, serta panjang pedal 350mm bagi posisi kaki yang selesa ketika menunggang. Ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas dengan kapasiti 28liter juga menjadi nilai tambah untuk kegunaan harian.
Ciri pencahayaan dipertingkatkan dengan lampu LED hadapan dan belakang, menawarkan pancaran terang sekitar 4,000CD untuk ‘low beam’ dan 22,000CD untuk ‘high beam’, memastikan keterlihatan optimum terutama ketika menunggang waktu malam atau dalam keadaan gelap.
YADEA GT20 turut menampilkan paparan digital tub yang moden dengan paparan speedometer yang mesra pengguna. Ia menyokong dua mod tunggangan, serta fungsi paparan sistem tenaga dan amaran kerosakan pintar (smart monitor faultless) bagi memudahkan pemantauan prestasi motosikal secara masa nyata.
Ciri keselamatan seperti fungsi potong kuasa apabila tongkat sisi diturunkan (side stand cut-off) turut melengkapkan model ini sebagai motosikal EV yang mesra pengguna dan selamat.
Untuk keselesaan dan keselamatan penunggang, YADEA GT20 dilengkapi ciri ‘Secure Ride’ yang merangkumi tempat duduk ergonomik, penyandar belakang pembonceng (pillion backrest) serta pemegang belakang (grab bar) yang memudahkan pembonceng mengekalkan keseimbangan.
Bagi menambah nilai praktikaliti, ciri ‘Seamless Utility’ turut ditawarkan seperti ruang simpanan hadapan, port pengecasan USB Type-A untuk peranti mudah alih, serta cangkuk tersembunyi (hidden hook) bagi menggantung barang dengan lebih selamat dan kemas ketika dalam perjalanan.
Dengan gabungan rekaan bergaya, teknologi pintar dan kecekapan elektrik yang tinggi, YADEA GT20 adalah pilihan ideal bagi penunggang moden yang mencari alternatif tunggangan urban yang praktikal dan mesra alam.
YADEA Malaysia akan terus memberikan fokus dalam pasaran Malaysia khususnya kategori motosikal EV dengan mempelbagaikan lagi model-model terbaru yang mampu meningkatkan kelestarian dan kemajuan industri kenderaan elektrik tempatan.
Ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Metal Grey, Dark/Orange dan Green/Gold, model ini boleh dimiliki pada harga bermula RM4,998.00 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) menerusi pengedar sah Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. di seluruh Malaysia.
Dengan setiap pembelian YADEA GT20, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) tertakluk kepada terma dan syarat. Para pembeli juga boleh menikmati pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.