Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 Pusingan 3 di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy menyaksikan tiga kelas utama menyajikan aksi dramatik dan penuh debaran. Dari perlumbaan CP150 hingga Wira KBS, pelumba-pelumba muda dan berpengalaman tidak mengecewakan dengan persembahan bertenaga mereka.
Dalam kategori CP150, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mencuri tumpuan apabila berjaya melakukan pintasan mengejut di pusingan terakhir untuk meraih kemenangan dramatik. Perlumbaan dimulakan dengan Azroy yang pantas memimpin, diikuti rapat oleh Kasma Daniel dan Afif, namun penalti ‘Ride Through’ ke atas Kasma akibat ‘Jump Start’ mengubah keseluruhan rentak perlumbaan.
Kasma yang terpaksa turun ke kedudukan ke-23, bangkit luar biasa untuk kembali ke kelompok hadapan dalam masa singkat, tetapi kemenangan akhirnya menjadi milik Afif selepas beliau mengambil peluang keemasan di saat akhir untuk memintas Azroy. Ahmad Darwisy Ahmad Sahir dari HONDA ESTREMO YUZY RACING melengkapkan podium di tempat ketiga.
Perlumbaan CP125 pula menjadi pentas kebangkitan buat Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM. Walaupun dikejutkan oleh kepantasan Adib Arsyad dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR yang mencuri kedudukan pendahulu pada pusingan ke-4, Idlan kekal konsisten dan menunggu ruang terbaik untuk menyerang semula.
Insiden melibatkan tiga pelumba iaitu Farish, Syamil dan Md Harith Farhan, membuka laluan buat Idlan untuk menutup perlumbaan dengan penuh bergaya. Beliau memintas Adib di pusingan terakhir dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama, mengakhiri kemarau kemenangan yang sekian lama dinanti.
Kategori Wira KBS pula menyaksikan kejayaan manis buat Farres Putra Md Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING. Memulakan perlumbaan dari petak kedua, Farres segera mengambil alih pendahuluan dan mengekalkan kedudukan tersebut sehingga ke garisan penamat, walaupun dicabar hebat oleh dua pelumba ZYNERGYS.
Aksi menarik turut ditampilkan oleh Md Akid Md Shah Khearul Nisiam dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING yang memulakan perlumbaan dari petak ke-12. Beliau berjaya menembusi kelompok depan dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas pertarungan sengit dengan Akif Abdullah, yang akhirnya meraih tempat kedua.
Pusingan di Monkeys Canopy jelas membuktikan betapa Kejuaraan Cub Prix terus menjadi pentas terbaik mencungkil bakat muda negara. Setiap pelumba tampil dengan strategi tersendiri, tetapi hanya yang cekal, berani dan bijak membaca perlumbaan mampu menjulang kejayaan di garisan penamat.
CP150 | Top 3 Terpantas
1. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (18’48.052s)
2. Azroy Hakeem Anuar – HONDA ESTREMO YUZY RACING (18’46.117s)
3. Ahmad Darwisy Ahmad Sahir – HONDA ESTREMO YUZY RACING (18’54.932s)
CP125 | Top 3 Terpantas
1. Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (14’44.063s)
2. Md Adib Arsyad Md Hisam – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’44.507s)
3. Md Khairi Asyraf Mahmood – JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (14’45.029s)
Wira KBS | Top 3 Terpantas
1. Farres Putra Md Fadhil – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (12’25.887s)
2. Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (12’26.348s)
3. Md Akid Md Shah Khearul Nisiam – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (12’26.724s)