Yamaha Motor Vietnam Company secara rasmi melancarkan jentera terbaharu Yamaha Exciter 155 VVA di pasaran negara terbabit. Yamaha Exciter terbaharu yang juga dikenali sebagai Y15R di negara ini didatangkan dengan rekaan lebih menarik, sporty dan dipadankan sistem VVA (variable valve actuation).
Terdapat tiga pilihan varian yang boleh dipilih pengguna iaitu GP Edition, Premium dan Standard. Masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM8,848, RM8,761 dan RM8,235. Dengan rekaan lebih mantap, Yamaha Exciter 155 VVA dilengkapi lampu utama LED manakala lampu dan fender bahagian belakang mirip seperti jentera YZF-R1.
Jentera terbaharu ini didatangkan bersama paparan LCD pelbagai fungsi yang memaparkan kelajuan, kedudukan gear, jarak dan VVA trigger. Ia turut dilengkapi kill switch di bahagian hendal dan tempat duduk lebih sporty bagi keselesaan penunggang serta pembonceng.
Yamaha Exciter 155 VVA mendapat khidmat enjin 155cc SOHC yang mampu menjana kuasa 17.7hp pada 9,500 rpm dan tork 14.4Nm pada 8,000rpm dengan dipadankan transmisi 6 kelajuan. Ia merupakan enjin yang sama digunakan pada jentera R15 dan MT-15. Model terbaharu ini juga menggunakan sistem Smart Key serta menawarkan pengecas USB termasuk penggunaan kaliper brek dua piston (bagi varian Premium) serta tangki yang lebih besar berkapsiti 5.4L.
Sumber : Mekanika