
Kegemarannya mengadaptasi corak dalam bentuk air brush sejak di bangku sekolah mendorongnya untuk terus ‘berkarya’ bukan sahaja ke atas motosikal malah kini turut dilakukan ke atas topi keledar milik pelanggan. Bermula pengalaman sejak di alam sekolah pemilik nama Muhammad Fadhli Muhammad Radzai, bagaikan tidak duduk diam menangani permintaan pelanggannya. Namun cerita dan magis Ayie terhadap dunia air brush atau kustam motosikal sekadar baru bermula.
Asbab perniagaan makanannya terpaksa ditutup, Ayie tidak berhenti di situ sahaja. Kreativiti yang diberikan oleh Tuhan meletakkan Ayie kembali semula ke kancah dunia modifikasi dan airbrush motosikal yang pernah ditinggalkan satu ketika dulu.

Seperti mana terdapatnya banyak ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita perolehi, Ayie tidak pernah putus asa atau patah semangat malah ia tetap komited untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tersayang.
“Perniagaan makanan saya terpaksa ditutup kerana pemilik kedai menjual kepada pemilik lain. Pada mulanya memang saya buntu juga. Namun demi keluarga (isteri dan 3 orang anak) saya tekad untuk kembali dalam dunia yang saya ceburi sebelum ini,” ujar bapa muda berusia 37 tahun ini.

Kini, impian Ayie yang satu ketika ‘jem’ memikirkan untuk meneruskan perbelanjaan keluarga, berjaya dan mendapat sambutan hangat dari pelanggan terhadap hasil kerja seninya. Sekali pun masih baru dan tidak ‘femes’ sebagaimana nama-nama besar dalam air brush yang lain, namun Ayie tetap bersyukur perniagaannya semakin dikenali terutamanya bagi warga penduduk di sekitar Alor Setar ini.
Sebagaimana kisah hidup masyarakat sebelum ini, bermula daripada minat dan hobi akhirnya bertukar sebagai punca pendapatan. Ayie tampil menerusi Kecaq Garage menjalankan perniagaan air brush terhadap motosikal pelanggan. Daripada minat dan hobi yang sebelum ini ditinggalkan atas kecenderungan terhadap perniagaan makanan, akhirnya Ayie bertukar menjadikan modifikasi dan air brush motoikal sebagai punca pendapatan keluarga.

Menggunakan platform Kecaq Garage yang diusahakan bersama isterinya, Nur Syawalni Ruslan (32 tahun) di Alor Setar, usaha kecil-kecilan itu dilihat mampu berkembang sekali gus menjadi mata pencarian Ayie sekeluarga. Bukan sahaja pada motosikal kecil atau kapcai, malah Ayie juga turut mendapat tempahan pada motosikal berkuasa besar dan topi keledar mengikut corak yang dimahukan oleh pelanggan.
“Minat airbrush dan modifikasi sudah sebati dalam jiwa. Malah sejak di alam persekolahan lagi saya mula mencari pengalaman dan mendapat upah dengan membuat kerja sambilan air brush ini.

“Malah, pendapatan hasil dari kerja-kerja tersebut (semasa alam sekolah), saya berjaya memiliki sebuah motosikal Yamaha Ego sekitar tahun 2006,” ujarnya yang mendedahkan berjaya mengumpul sejumlah RM5 ribu hasil kerja sambilan demi untuk memiliki sebuah skuter baharu.
Ketika ditanya mengenai jenis penampilan yang dibawa oleh Yamaha Ego bagi menghiasi majalah Roadstar kali ini, Ayie menyatakan bahawa jentera yang diperagakan adalah kacukan Vietnam Style dan Thai Look.
“Alhamdulillah..setakat beberapa pertandingan sebelum ini, Yamaha Ego keluaran tahun 2006 tidak lagi mengecewakan. Mungkin keterampilan yang terdapat pada Yamaha Ego saya agak berbeza dengan jentera peserta lain.

“Jentera saya ini saya tampilkan dengan aksesori Titanium Salaya. Manakala bahagian cover set pula dihiasi dengan kempulan seperti api.
“Namun saya tidak memilih kepada satu konsep sahaja. Sekiranya jentera ini, mendapat tempat dan pilihan juri di podium tak kiralah posisi yang mana satu, saya akan pastikan coverset itu akan berubah sekiranya tampil pada pertandingan yang lain.
“Dulu saya tiada pengalaman dalam acara sebegini dan kerap juga saya beraksi di luar dari Alor Setar ini. Namun kini, saya selektif untuk beraksi di sekitar Kedah dan Perlis sahaja.
“Mungkin saya akan memilih lokasi pertandingan yang sesuai memandang kekangan masa atas urusan perniagaan ketika ini. Bagaimana pun, sebelum ini antara lokasi pertandingan yang paling jauh saya pernah bawa Yamaha Ego ini adalah ke Austoshow Lumut, Perak”, ujar Ayie yang sentiasa membawa 4 jentera mofidifikasi pada lokasi pertandingan di sebelah Utara Semenanjung.


Sekilas Fakta
Nama: Muhammad Fadhli Muhammad Radzai
Asal: Jitra, Kedah
Kediaman, Alor Setar, Kedah
Umur : 37 tahun
Status Berkahwin
Pasangan: Nur Syawalni Ruslan (32 tahun)
Anak: 3 orang
Kerjaya: Perniagaan
Ayie Kecaq Garage – (011-566 78466 / 017-413 4336)
Info Jentera
Model: Yamaha Ego Tahun 2006
Spesifikasi Motor: 115cc, 59 24/28
Cover Set:
* Airbrush Kecaq Garage
* Karbon Forget (Ayie Kecaq Garage)
Kustom
* Coverset Airbrush Titanium
* Inner Full Carbon Forget
* Lampu Depan Jenis LED
* Sistem Brek Brembu GSX
* Fork Lay Tobaki Ego Solaris
* Barangan Kerom (Celup)
* Perendam Bunyi Jenis Belah dari ManapMotor
* SKRV Gold Fully (SA Racing)
* Enjin Modifikasi (Kecaq Garage)
* Kaburator NSR 28mm
* CDI (Thailand Racing)
* Pelapik Kaki (Hyperspeed Mid Sporty)
* Panel meter Kustom
* Penyerap Hentak Jenis FastBiker



























