Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pepatah Melayu lama bagaikan terkait tepat dengan kehidupan personaliti AutoShow RoadStar kali ini. Selain keazaman, orang yang berjaya kebiasaannya tiada istilah mustahil dalam hidup mereka. Ibarat kata orang, usaha tangga kejayaan.
Atas sokongan yang diterima baik dari pasangannya, sahabat handai dan juga masyarakat setempat buat Nazuwan bin Ahmad terus kekal bersemangat. Nazuwan atau cukup popular dalam kalangan netizen di media sosial dengan jolokan ‘WanEja’, beranggapan segala yang dilakukan pada peringkat awalnya sebagai satu hobi kini menjadi tarikan dan minat pada dirinya.
“Segalanya bermula semasa pandemik baru-baru ini. Sebelum itu, saya berkerja di perindustrian sekitar Seberang Perai namun terpaksa berhenti ekoran faktor kemelesetan ekonomi.
“Berbekalkan pengetahuan terhadap enjin motosikal, saya berbincang dengan isteri untuk membuka satu bengkel motosikal yang terletak di kawasan kediaman kami,” ujar WanEja kepada penulis sebagai pemula bicara.
Menurutnya, minat yang mendalam terhadap dunia motosikal bermula ketika melihat arwah abang bersama rakan-rakannya yang pernah mengabadikan sebuah motosikal untuk dimodifikasi sekitar awal 90an. WanEja mengakui, dunia motosikal menjadi ‘ketagihannya’ sejak di alam sekolah lagi. Bagaikan trend di mana ramai anak-anak muda di luar bandar berkeliaran menggunakan motosikal, ia mencetuskan semangat untuk mempelajari sesuatu terhadap kenderaan ini.
“Pada usia 14 tahun, saya mula bekerja sambil belajar di salah sebuah bengkel motosikal yang berdekatan sekolah. Senang cerita, balik dari sekolah saya akan terus ke bengkel untuk ‘part time’ di bengkel tersebut,”
“Bermula dari kerja sebagai mekanik, saya mula belajar perihal sesebuah jentera motosikal sehingga akhirnya berjaya membuka bengkel dikenali WFI Performance miliknya sendiri yang terletak di Gurun, Kedah,” ujar WanEja membuka bicara kisah hidupnya.
Selepas berjaya membangunkan perniagaan sendiri, WanEja mula aktif dalam aktiviti motorshow sekitar tahun 2010. Motosikal pertama yang menjadi ‘mangsanya’ ialah Yamaha Lagenda 110.
Adat bertanding, kalah atau menang adalah asam garam dalam apa jua pertandingan. Namun, WanEja beranggapan motorshow pertama yang disertai sebagai pengalaman sulung dalam aktiviti modifikasinya. Bertitik-tolak dari itu, WanEja mula mempelajari perihal modifikasi motosikal. Ia menyifatkan modifikasi motosikal terbahagi kepada dua bahagian iaitu di bahagian luar dan satu lagi menyentuh mengenai enjin dan bahagian dalaman.
Hasil penelitian dalam dunia modifikasi sama ada terbabit secara langsung atau sekadar menyaksikan karya pemilik lain, WanEja akhirnya nekad untuk mencuba kreativiti dan bakat seni dalam bidang modifikasi pula.
Dari Benelli RSF150 Ke ‘Baby’ Ducati
Umum mengetahui bahawa jenama motosikal Benelli RSF150 ini merupakan moped pertama keluaran Itali dan ia dilancarkan untuk pasaran tempatan sekitar tahun 2017 bagi menyaingi moped sedia ada seperti jenama Yamaha dan Honda.
Memandangkan jenama Benelli ini masih baru di pasaran tempatan, hampir dikatakan tiada aksesori tambahan atau barangan prestasi dikeluarkan untuk motosikal ini berbanding jenama Yamaha dan Honda yang sinonim dengan pemilik jentera dua roda tempatan.
“Disebabkan perkara inilah, saya mencabar diri dan bernekad untuk membuat modifikasi aksesori pada motosikal Benelli ini. Pada peringkat permulaan, WanEja memilih beberapa konsep asas untuk modifikasi jentera ini. Antara konsep yang ramai dambakan adalah konsep ‘GTB’.
“Bila disebut GTB, ramai beranggapan ia singkatan kepada Geng Takut Bini tetapi sebaliknya konsep ini cukup popular dengan menggunakan skop konsep tayar besar, rekabentuk yang lebih ranggi menjadikan bentuk badan Benelli RFS150 ini lebih muncung dan pendekatan yang sporti.
Proses modifikasi diteruskan dengan pemilihan rim sukan dari jenis Marchesini untuk depan dan belakang bersaiz 2.50 /4.50. Sistem pemberhentian di bahagian depan menggunakan double disc 4pot di kiri dan kanan dengan saiz rotor 320mm dari jenama KZR dan brembo P34 untuk bahagian belakang.
Sistem henjutan di bahagian depan, saya gunakan model Ohlins USD Fork sementara suspensi belakang pula dari jenis Ohlins adjustable monoshock. Untuk peletak kaki, ‘Baby’ Ducati ini dipadankan dengan Racing footrest UP dari jenama Espada bagi menambah elemen sporti ke atas jentera Benelli RFS150 ini.
Pro swing arm dari jenama Bosado turut dipasang pada motor ini. Bagaimanapun proses modifikasi di bahagian ini mengambil masa yang agak lama untuk mencari dan merasai kesempurnaan yang benar-benar sesuai.
KONSEP ‘GTB’
Untuk info, aspek atau isu berkaitan dengan keselamatan merupakan elemen penting dalam sesebuah jentera yang mahu dimodifikasikan malah bagi penganjur motorshow juga tidak terkecuali menjadikan ia sebagai pra syarat utama yang diambil kira dalam sesuatu pertunjukan.
“Seperti yang disebutkan sebelum ini, saya ingin membawa konsep Geng Tayar Besar (GTB @ Big Bike) dalam jentera Benelli ini. Oleh itu, beberapa komponen yang agak sesuai seperti sistem exzos Akrapovic yang diambil dari model Kawasaki Z900 dipadankan pada konsep Benelli – GTB @Big Bike ini.”
Terdapat sedikit perubahan di bahagian kepala motosikal Benelli RSF150 (asal) apabila ia digantikan dengan imej kepala yang lebih kecil dan ringan sementara damper handle di kedua-duanya menggunakan model baharu bagi memberi kestabilan ketika meluncur di atas jalan. Tayar ‘Baby’ Ducati ini menggunakan tayar jenama Pirelli Diablo Rosso Sport, rantai dari D.I.D flamered turut di gunakan bersama gegancu (spoket) yang tempah khas.
Pilihan Warna Ducati Team Mission Minnow
Selepas kesemua modifikasi selesai dilakukan, fasa terakhir adalah pemilihan ton warna yang sesuai. Sebelum ini, saya pernah menggunakan warna lain namun untuk tatapan pembaca setia RoadStar, saya memilih warna yang sedikit garang.
Sememangnya pemilihan warna dan rekabentuk untuk menambah kecantikan pada motosikal ini adalah elemen utama yang menarik perhatian dan pandangan umum. Untuk itu, saya mengambil beberapa rekabentuk dari pasukan MotoGP Ducati Team Mission Minnow dan ton warna merah candy sebagai warna asas.
Bagaimanapun bagi bahagian enjin, WanEja mengakui beliau masih yakin dengan kemampuan enjin yang dihasilkan oleh kilang dan tidak melakukan sebarang modifikasi. Hanya dipadankan oil catch tank pada jentera ini untuk mengurangkan tekanan dalam enjin ketika beroperasi dalam rpm tinggi (blowby). Komponen ini juga berfungsi untuk memerangkapi minyak enjin yang keluar bersama tekanan angin dari enjin.
Sementara cool air intake yang berada dari luar dipasang terus ke kotak angin untuk mendapatkan udara yg lebih sejuk ini dapat membantu proses pembakaran yg lebih efisien ketika jentera ini bergerak di atas jalan raya.
Menurut WanEja, segala impiannya buat masa ini sudah berjaya dicapai. Sekali pun pemilik bengkel WFI Performance ini mempunyai keinginan berkarya pada jentera yang lain pula. Pesanan beliau hanya satu; hadapi cabaran dan liku itu dengan penuh sabar.
Baginya, segala pengorbanan dan sokongan dari wang ringgit hingga ke masa terutamanya membabitkan pembabitan isterinya, keluarga rakan taulan amat bermakna baginya. Akhir kata, WanEja berharap iklim modifikasi di tanahair terus berkembang dan banyak lagi konsep-konsep modifikasi yang dapat ditonjolkan oleh ‘pengkarya’ tempatan untuk dipamerkan buat tatapan peminat motorshow di luar sana.
Bagi mereka yang ingin ingin melihat motor ini secara dekat ‘Baby’ Ducati ini, WanEja mengajak mereka terus ke bengkel miliknya yang terletak di alamat seperti berikut. WFI Performance , Taman Ria, Mersa 1, Gurun, Kedah.