Pelumba MotoGP, Dani Pedrosa, dijangka akan berlumba di dalam pusingan Misano tahun ini. Beliau akan menyertai perlumbaan tersebut sebagai seorang penunggang “wildcard.” Penyertaan pelumba wildcard di dalam perlumbaan diberhentikan tahun lepas memadangkan pengurangan pusingan MotoGP akibat wabak Covid-19.
Pedrosa yang juga dikenali sebagai “Little Samurai” telah bersara daripada berlumba sepenuh masa pada tahun 2018 ketika beliau menunggang untuk pasukan Repsol Honda. Dia kemudiannya diambil oleh KTM sebagai penunggang ujian mereka bagi membangunkan jentera RC16 untuk kelas MotoGP mulai tahun 2019.
Tidak syak lagi bahawa input beliau yang membuatkan jentera KTM berada di kelompok hadapan serta memenangi beberapa perlumbaan sejak tahun 2020. Penunggang-penunggang KTM seperti Miguel Oliveira serta Brad Binder telah berjaya memenangi perlumbaan sulung mereka mulai tahun lepas. Penyertaan Pedrosa nanti akan memberikan gambaran yang lebih terperinci lagi kepada KTM.
KTM juga menemui masalah besar pada awal tahun ini kerana Michelin tidak lagi menyumbangkan tayar jenis kompaun sederhana pada tahun ini. Sebaliknya, hanya terdapat kompaun lembut serta keras. Tambah lagi, tayar depan jenis lembut terlalu lembut dan tidak sesuai untuk jentera-jentera KTM. Pembuat lain seperti Honda dan Suzuki juga menemui masalah yang sama.
Oleh yang demikian, KTM telah mereka semula kerangka motosikal mereka dengan pertolongan Pedrosa dan membolehkan Oliveira mendapat 3 podium berturut-turut yang termasuk satu kemenangan.
Pedrosa merupakan juara dunia 125cc sekali serta 250cc sebanyak dua kali. Beliau telah juga memenangi 36 perlumbaan MotoGP serta menjadi naib juara MotoGP sebanyak tiga kali.
Sumber berita: Motosport.com / MotoGP.com