Model cruiser unik dari QJMotor kini secara rasmi ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Dikenali sebagai QJMotor SRV250 AMT 2025, motosikal ini dilancarkan sempena pembukaan Mforce Best Shop Chuan Keat Motor di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dan ditawarkan pada harga RM17,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran. Dua pilihan warna disediakan: Matte Black dan Silver.
Apa yang menjadikan SRV250 AMT ini menonjol dalam kelasnya adalah sistem transmisi AMT (Automatic Manual Transmission) yang membolehkan tunggangan tanpa klac. Penunggang boleh memilih untuk menukar gear secara automatik atau mengawalnya secara manual menggunakan suis pada pemegang bar, menjadikan pengalaman tunggangan lebih fleksibel dan mesra pengguna.
Dari segi enjin, SRV250 AMT menggunakan enjin V-twin sejukan cecair berkapasiti 249 cc, dengan DOHC dan dua injap bagi setiap silinder serta sistem suntikan bahan api (EFI). Kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 27.49 hp pada 9,000 rpm dan tork puncak 23 Nm pada 8,000 rpm. Kuasa ini disalurkan ke tayar belakang melalui kotak gear enam kelajuan AMT dan pemacu rantai.
SRV250 AMT dipadankan dengan tayar bersaiz 120/80 pada roda depan 16 inci dan 150/80 pada roda belakang 15 inci. Sistem gantungan terdiri daripada fork jenis terbalik (upside-down) di hadapan dan penyerap hentak berkembar yang boleh dilaras pramuatan di bahagian belakang, memberi keselesaan serta kestabilan ketika menunggang.
Untuk keselamatan, motosikal ini dilengkapi dengan brek cakera hidraulik tunggal di kedua-dua bahagian depan dan belakang, masing-masing bersaiz 280 mm dan 240 mm, serta sistem ABS dua saluran sebagai ciri standard. Tangki bahan api berkapasiti 13.5 liter, berat keseluruhan motosikal ialah 167 kg, dan ketinggian tempat duduk hanya 700 mm, sesuai untuk pelbagai jenis penunggang.
Antara ciri tambahan termasuklah kawalan cengkaman (traction control) yang boleh dihidupkan atau dimatikan, port pengecasan USB untuk kegunaan elektronik penunggang, serta sistem pencahayaan LED sepenuhnya. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had perbatuan terhadap kecacatan pembuatan.