Saban minggu, pasti ada sahaja aktiviti atau program melibatkan kelab-kelab permotoran dua roda yang boleh ditemui di mana-mana sahaja. Hubungan dalam kalangan ahli pula sangat kukuh antara satu dengan yang lain. Tidak dinafikan, kelab-kelab atau komuniti inilah yang menghangatkan lagi persada dunia permotoran dua roda di Malaysia. Salah satunya yang bergiat aktif ialah Crew RS150 Perak Official atau lebih dikenali sebagai CRS Perak Official.
Ditubuhkan sekitar bulan Mei pada tahun 2019, kelab ini menggabungkan motosikal berjenama Honda yang terdiri daripada dua model iaitu RS150R di seluruh negeri Perak. Idea tercetusnya penubuhan CRS Perak Official selepas Honda mengeluarkan jentera moped pertama berkuasa 150CC. Tujuan utama kelab adalah untuk menghimpunkan para pemilik jentera Honda RS15OR pada ketika itu.
Dinaungi saudara presiden iaitu En. Nor Azarul Nizam serta dibantu saudara Azizul Hakim, Mohd Zabri Mustapha dan juga Mohd Shafizal. Seawal penubuhan kelab pada tahun 2019, CRS Perak Official mencatatkan keahlian seramai 160 orang. Kini, kelab bergabung pula dengan pemilik pemilik jentera Honda RSX15O di mana ramai generasi muda mula meminati jentera moped jenama Honda ini sekali gus menjadikan keahlian meningkat seramai hampir 300 orang ahli yang aktif.
Walaupun baru sahaja berusia empat tahun pada Mei ini, CRS Perak Official sentiasa bergiat aktif juga terlibat dalam pelbagai program serta aktiviti dunia permotoran dua roda samada yang dianjurkan di Perak sendiri mahupun luar dari negeri Perak. Tidak hairanlah sekiranya anda pernah melihat CRS Perak Official di mana-mana program besar yang pernah diadakan dan di halaman majalah Roadstar.
Kelab dinaungi saudara Nor Azarul Nizam yang lebih mesra disapa sebagai Zam ini sering terlibat dalam program bersama Honda Malaysia. Selain itu, CRS Perak Official sendiri sering menganjurkan pelbagai program seperti berkonvoi bersama ahli-ahli kelab. Selain berpeluang mengunjungi lokasi dan destinasi menarik, aktiviti seperti ini mengukuhkan lagi ukhuwah yang sedia terjalin.
Semasa pandemik Covid-19, CRS Perak Official tetap mengadakan beberapa aktiviti khususnya yang melibatkan program amal untuk membantu barisan hadapan (Frontliner) dengan menghantar sumbangan makanan di setiap SJR. Usaha ini turut mendapat kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut membantu dari segi kewangan selain kutipan derma dari ahli-ahli kelab. Kelab juga terlibat mengedarkan bungkusan-bungkusan makanan, barangan dapur dan diagihkan kepada ahli-ahli yang memerlukan semasa pandemik Covid-19 lalu.
Bukan itu sahaja, CRS Perak Official juga kerap menghadiri ‘preview’ dan menjalankan ‘review’ mereka sendiri terhadap produk serta barangan motosikal pelbagai jenama. Antaranya seperti baju hujan Foxdry yang digunakan ketika program Cameron Highlands Bersama Foxdry dan Konvoi CRS Perak Bersama Keith Cruiser Helmets. Tidak ketinggalan, menghadiri pembukaan cawangan kedai-kedai motosikal terbaharu, rumah terbuka sempena perayaan dan macam-macam lagi yang melibat dunia permotoran dua roda tanah air.
Sepanjang penubuhan kelab, pelbagai kenangan manis dicipta bersama ahli-ahlinya seperti terlibat dengan program-program Bersama Honda Malaysia dan diberi kepercayaan terlibat dengan kerjasama bersama Foxdry, Keith Cruiser Helmets, bateri Thai-X dan tayar FKR. Begitu juga kenangan pahit yang terpaksa dihadapi sepanjang musim pandemik di mana semua program yang dirancang terpaksa ditangguhkan dalam tempoh agak lama mengakibatkan ramai ahli kelab terkesan dengan situasi pada masa itu.
Menurut saudara Zam, beliau bagi pihak kelab mengharapkan lebih banyak program menarik dapat dijalankan bersama ahli-ahli kelab dan lebih banyak syarikat yang mempercayai kelab ini untuk menjalankan kerjasama dua hala serta memberikan impak positif untuk kedua-dua pihak.
“Sebagai presiden, saya berharap dapat menghimpunkan lebih ramai pemilik jentera Honda RS150R dan RSX150 tanpa ada jurang perbezaan di antara kedua-dua model. Seterusnya, mengukuhkan ukhuwah sesama ahli kelab CRS Perak Official menerusi program-program yang bakal diaturkan dari masa ke semasa,” ujar saudara Zam mengakhiri perbualan pada petang itu.