Semakin hari, semakin menjadi-jadi. Tidak cukup berkonvoi dengan pelbagai aktiviti, kini CaMK dijemput pula sebagai undangan salah satu program tv popular tontonan umum terbitan Tv3 yang sudah berdekad iaitu Malaysia Hari Ini (MHI). Kelab ini dijemput khas kerana tarikan motor retro atau klasik yang kian bertambah penggemarnya.
Bagi memenuhi undangan tersebut, CaMK telah menganjurkan sebuah program konvoi santai Dari Kulim Ke Sri Pentas yang melibatkan seramai 18 orang ahli di mana kesemuanya menggunakan jentera Honda C70 lampu bulat. Manakala umur peserta yang turut sama menghadiri jemputan ke MHI ini adalah dalam lingkungan 30 tahun yang paling muda sehingga 63 yang paling berusia atau otai.
Diketuai oleh pengerusinya, saudara Abdul Razak Bin Buhari atau lebih dikenali sebagai Jaq Kapcai, konvoi ini mengambil masa selama dua hari dan satu 1 malam. Perjalanan dimulakan dari Dataran Kulim, para peserta mengekalkan kelajuan di antara 70km/j hingga 80km/j. Pelbagai dugaan dan cabaran yang dihadapi para peserta sebelum tiba ke Homestay di Gombak untuk penginapan.
Setelah berehat dan melakukan persiapan akhir, para peserta konvoi bergerak ke Sri Pentas untuk bersiaran dalam program MHI yang ditonton jutaan rakyat Malaysia. Tahniah diucapkan kepada kesemua peserta khususnya Club Antique Motor Kulim. Semoga lebih bergiat aktif dalam merancakkan lagi dunia permotoran serta menyuburkan kecintaan terhadap motor-motor retro dan klasik ini.