Sayong merupakan salah satu kawasan dalam daerah Kuala Kangsar yang sejumlah besar bilangan anak muda yang meminati sukan bermotor edisi debu atau motocross. Setiap kali berlangsungnya majlis-majlis istimewa seperti majlis kenduri kahwin, pasti akan diadakan acara sampingan. Kali ini, Roadstar telah berpeluang menyaksikan sebuah majlis yang cukup unik apabila dimeriahkan lagi dengan sukan motocross.
Bagi makluman anda, majlis kenduri perkahwinan saudara Asyraf dan juga pasangannya Nurul Najwa ini diadakan sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bertempat di Litar Motorcross Sayong Bendang Peru Speedway, satu pertandingan perlumbaan motocross turut diadakan bagi memeriahkan lagi majlis ini. Perlumbaan ini diadakan dengan kerjasama Sayong MX Club dan penduduk berhampiran.
Pelbagai kategori telah dipertandingkan seperti Cub Cross, Veteran, CKD, Cub, Standard, Skuter dan juga kategori untuk basikal. Dianggarkan lebih 50 orang pelumba telah hadir beserta adik-adik yang mengambil bahagian untuk kategori basikal sekali gus menunjukkan suasana muhibah dan kerjasama yang sangat erat di kalangan masyarakat Kuala Kangsar. Tahniah diucapkan kepada Paklong Motorsport selaku orang kuat di belakang tabir, Sayong MX Club selaku pengelola perlumbaan, SCMC serta para penaja yang sudi menyumbangkan hadiah.
Perlumbaan motocross yang bermula seawal pagi dan berakhir lewat petang ini berjalan dengan lancar dan selamat. Majlis penyampaian hadiah oleh pasangan pengantin telah menutup tirai acara. Tahniah kepada pengantin, semoga berbahagia sehingga ke anak cucu.
Disediakan oleh;
Teks : En. Bob
Gambar : Husaini Hashim