Sebelum itu, suka penulis menekankan betapa rindunya untuk bergerak ke sana ke sini dengan hanya bermotosikal. Saya mempunyai dua orang anak tetapi tidak seorang pun cukup umurnya untuk dibawa menunggang motosikal bersama-sama dan lebih banyak memandu sekarang ini.
Disebabkan itu, saya boleh membandingkan di antara memandu kereta dan menunggang motosikal.
1. Jimat Bahan Api
Ia tiada kena mengena dengan “bahan api atau minyak yang digunakan adalah paling murah di Malaysia” sebaliknya jumlah yang diperolehi berdasarkan sara kos hidup termasuk bahan api. Sebuah kereta kecil di antara 1300cc hingga 1500cc biasanya mampu pergi sejauh 10 hingga 13 km (seliter). Manakala motosikal 1000cc dalam mana-mana kategori (selain dari sportbike atau naked sportbike) mampu bergerak sejauh 15 hingga 18 km (kepada liter) apabila ditunggang dengan kelajuan di bandar. Sebuah motosikal atau skuter 150cc hingga 200cc mampu pergi lebih jauh dari kedua-dua tadi.
Kos ini boleh dikira dengan mudah. Sebagai contoh, sekurang-kurangnya 10km untuk seliter dan tempat kerja pula sejauh 20km jadi, 40km perjalanan pergi dan balik. Ini bermaksud anda perlu berbelanja RM 8.20 sehari hanya untuk belanja petrol (ikut pada harga petrol mingguan). Bagi perjalanan ke tempat kerja untuk 20 hari dalam sebulan, RM8.20 x 20 = RM 164.00
Sekarang, katakanlah motor anda bergerak sejauh 15km seliter yang bermaksud RM5.46 sehari. Bagi 20 hari, kos petrol hanya RM109.20.
2. Tiba Lebih Awal
Sekiranya anda mula bergerak dari rumah pukul 8.00 pagi dengan menunggang motosikal, sekitar pukul 8.30 pagi sudah tiba di pejabat. Ya, masih ada banyak masa untuk minum pagi sebelum memulakan tugas.
Kalau keluar dari rumah pada waktu yang sama dengan memandu, pukul berapa anda kan sampai ke pejabat?
3. Elak Kesesakan Lalu Lintas
Perkara yang satu ini sangat jelas. Kenapa perlu berkurung dalam kereta dan menghirup udara yang dikitar semula sementera kereta anda terus membakar bahan api dan kereta merangkak pada 20km/j?
Hujan? Banyak pilihan baju dan jaket hujan yang berkualiti di luar sana. Beli satu dan teruskan menunggang.
3. Tiada Bayaran Tol
Motosikal dikecualikan dan tidak perlu membayar tol walaupun menggunakan lebuh raya. Perjalanan sehala dengan memandu kereta menelan belanja sekurang-kurangnya antara RM 1.00 hingga RM 5.00. Nak dengar apa yang paling kelakar? Anda tetap tersangkut dalam kesesakan jalan raya!
4. Tiada Bayaran Parking
Bergantung di lokasi anda parking. Jika parking motosikal dalam bangunan pejabat atau kompleks beli-belah, selalunya bayaran dikenakan dari RM 1.00 hingga RM 2.00 (KLCC) sehari. Tiada bayaran dikenakan jika anda parking motor di tempat khas yang ada di luar bangunan. Tapi, jangan sesekali parking di bukan kawasan sepatutnya atau di kaki lima.
5. Sampai Rumah Lebih Awal
Sebagaimana anda keluar lewat di waktu pagi, anda juga boleh keluar lewat dari pejabat tetapi tiba di rumah seperti biasa. Lebih awal berbanding orang yang memandu kereta. Anda juga ada banyak masa untuk berehat di rumah atau melakukan riadah selepas waktu kerja.
6. Kurang Tekanan
Hampir tidak ada tekanan apabila menunggang motosikal. Lazimnya, pemandu kereta lebih tertekan di atas jalan raya kerana tersangkut di atas jalan raya dan lambat sampai ke destinasi masing-masing.
7. Senaman
Menunggang juga satu bentuk senaman. Penunggang perlu menggunakan segala otot untuk mengendalikan sebuah motosikal. Berbeza dengan kereta, pemandu hanya menggerakkan tangan dan kaki. Itupun masih ada sesetengah pemandu yang tidak mampu melakukan senaman pada jejari masing-masing untuk memberi lampu isyarat. Bagi senaman yang lebih banyak pergerakan, cuba di jalan lasak.
8. Pelepasan Karbon Yang Sedikit
Pada hari ini, hampir kesemua motosikal menggunakan suntikan bahan api. Motosikal dengan kapasiti besar dilengkapi catalytic converters. Motosikal mengeluarkan jumlah pelepasan asap amat kurang berbanding yang dikeluarkan oleh kereta.