Nazirul Izzat Bahauddin melakarkan kemenangan bagi pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di tangga teratas podium bagi kategori CP150 di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix. Nazirul telah memulakan perlumbaan di grid ketiga belas namun pelumba ini telah menampilkan strategi yang mantap apabila beliau berjaya menguasai jentera dan kelajuannya untuk menempatkan dirinya di kalangan kelompok di hadapan.
Sepanjang perlumbaan, beliau bergelut di antara pelumba-pelumba yang lain untuk mengekalkan kedudukannya dan pada lap terakhir, Nazirul jatuh ke tangga keenam. Walau bagaimanapun, beliau dengan cepat mengatasi cabaran tersebut dan kembali gagah apabila beliau menamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa 14’07:916s.
Pada pusingan pertama, Nazirul hanya berjaya di tangga keempat manakala pada pusingan kedua, beliau telah menunjukkan peningkatan dalam prestasinya apabila meraih tempat ketiga di podium. Tempat kedua adalah milik Md Izam Ikmal Izamli dari pasukan ONEXOX Racing dengan catatan masa 14’07:924s. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu yang telah memulakan perlumbaan di grid pertama mengambil tempat ketiga di podium dengan catatan masa 14’08:070s.
Bagi kategori CP125, Md Hafiza Rofa mencipta “Hat-trick” dengan satu lagi kemenangan untuk pasukan ONEXOX TKKR Racing. Hafiza telah memperagakan kemahiran dan strategi yang mantap dalam perlumbaannya di litar seperti perlumbaan-perlumbaannya di pusingan pertama dan kedua dan berjaya menjayakan pelannya untuk mengambil kedudukan pertama di podium.
Di lap pertama dan kedua, Hafiza kelihatan mencari peluang untuk menembusi kelompok tiga teratas dan pada lap ketiga, beliau berjaya dengan pelannya. Dengan pengalaman dan kemahiran yang dimilikinya, Hafiza mengukuhkan lagi kedudukannya dan walaupun perlumbaan bertambah sengit pada lap-lap seterusnya, Hafiza mampu kekal konsisten di kelompok hadapan.
Pelumba yang menaiki jentera jenis Yamaha ini membuka langkah pada lap terakhir dan dari kedudukan keempat dan berjaya memintas pelumba-pelumba di hadapannya untuk menyambar kedudukan pertama di podium dengan catatan masa 11’07:606s. Tempat kedua pula milik Md Norhakim Md Morhafizullah dari pasukan ONEXOX Racing yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11’07:732s. Tempat ketiga jatuh ke tangan Md Irfan Haykhal Amidi dari pasukan HONDA KC RACING dengan catatan masa 11:07.778.
Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Md Syamil Amysar Md Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing sekali lagi mendominasi litar dengan kejayaan di tangga pertama. Pencapaian ini sememangnya telah dijangka memandangkan prestasi Syamil yang mantap di pusingan pertama dan kedua bagi kategori Wira KBS. Lebih-lebih lagi apabila beliau menandakan masa terpantas semalam di sesi kelayakan.
Di sepanjang musim ini, Syamil telah mempertahankan kedudukannya dan telah menunjukkan peningkatan dalam prestasi berbanding dengan tahun lepas di mana beliau hanya berjaya di tangga kelima secara keseluruhan. Syamil tidak goyah sepanjang perlumbaan kali ini. Beliau telah memulakan perlumbaan dengan yakin dan berjaya memecut jauh ke depan.
Seterusnya, beliau meneruskan perlumbaan dengan kelajuan yang konsisten sehingga ke lap terakhir dengan catatan masa, 9’40:569s.Tempat kedua dan ketiga juga disambar oleh pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Adam Haikal Jahar dan Md Danish Aiman Zamrul masing-masing dengan catatan masa 9’46:202 dan 9’49:108s.
Keputusan
CP150
Nazirul Izzat Md Bahauddin, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 14:07.916
Md Izam Ikmal Izamli, ONEXOX RACING TEAM, 14:07.924
Azroy Hakeem Anuar, HONDA YUZY IDEMITSU TEAM, 14:08.070
CP125
Md Hafiza Rofa, ONEXOX TKKR RACING TEAM, 11:07.606
Md Norhakim Md Norhafizullah, ONEXOX RACING TEAM, 11:07.732
Md Irfan Haykhal Amidi, HONDA KC RACING, 11:07.778
Wira KBS
Md Syamil Amsyar Md Iffende, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 9:40.569
Md Adam Haikal Jahar, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 9:46.202
Md Danish Aiman Zamrul, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 9:49.108