Sudah agak lama tiada percubaan untuk memecahkan atau mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book Of Records dan salah satu sebabnya tentulah pandemik yang masih belum reda. Namun begitu, satu cubaan untuk mencipta rekod baharu telah dilakukan pada 6 Mac yang lalu di Stadium Bukit Jalil.
Percubaan yang dimaksudkan ialah Largest Harley-Davidson Gathering In Malaysia 2022 dan diadakan sempena penganjuran Velocity Motor Show. Dianjurkan oleh Harley-Davidson dengan kerjasama Velocity Motor Show, semua pemilik motor Harley-Davidson dijemput hadir bagi sama-sama mencipta rekod baharu ini.
Bagi memeriahkan lagi himpunan terbesar para pemilik motosikal Harley-Davidson, pelbagai aktiviti selingan turut disediakan. Antaranya seperti gerai-gerai jualan yang menawarkan pelbagai produk untuk motor Harley-Davidson, selain beramah mesra dengan para peserta khususnya pemilik motosikal Harley Davidson.
Sebagaimana yang dirancang, sebanyak 902 motor Harley-Davidson berjaya dihimpunkan sekali gus mencatatkan rekod terbaharu perhimpunan motosikal Harley-Davidson terbesar dalam satu-satu masa di Malaysia. Tahniah kepada pihak penganjur dan seterusnya kepada para pemilik motosikal Harley-Davidson yang sudi dan bersemangat turun padang untuk menjadikan rancangan ini satu kejayaan bersama!