Kebelakangan ini, pelbagai berita dan perkembangan terbaharu dilaporkan di media berkaitan Yamaha. Sama ada berita tentang perlumbaan, penjenamaan semula dan juga pengesahan barisan terbaharu. Namun, dalam kebanjiran pelbagai berita ini terdapat juga juga khabar angin yang melaporkan kononnya Yamaha akan menamatkan beberapa model ikonik keluarannya seperti WR250R, VMAX dan yang agak memeranjatkan, YZF-R6!
Ya, R6 akan diberhentikan pengeluarannya selepas tahun 2020. Diperkenalkan pada tahun 1999, Yamaha R6 menjadi motor utama dalam segmen sportbike, seangkatan dengan model-model lain seperti Suzuki Gixxer dan Kawasaki Ninja. R6 menjadi salah satu ikonik motor superbike kerana enjin inline-4 599cc yang menerima pujian dari pengamal dan pencinta dunia dua roda.
Yamaha R6 juga merupakan antara motor yang boleh digunakan di atas jalan raya dan dalam masa yang sama, sentiasa bersedia untuk memecut di litar lumba. Tidak melampau jika dikatakan bahawa R6 ini lebih berjaya berbanding pesaingnya dari Suzuki dan Kawasaki. Berdasarkan kepopularitian dan prestasi, Yamaha seharusnya lebih sentimental sebelum membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran R6. Mungkin juga merancang sesuatu yang istimewa bagi tanda perpisahan seperti koleksi edisi terhad atau seumpamanya?
Menurut Yamaha, mereka menyedari serta memahami sejarah yang dibawakan model ikonik ini. Namun begitu, Yamaha berusaha untuk meneroka idea-idea serta konsep baharu bagi meluaskan lagi pasaran. Dalam masa yang sama, memberikan pengalaman lebih bermakna kepada para pelanggan.
Adakah nasib R6 bakal mengulangi senario dihadapi Hayabusa yang dihentikan pengeluarannya buat sementara waktu untuk melancarkan versi 2.0? Atau mungkin juga Yamaha memberi ruang untuk MT-07 R7? Adakah ini bermaksud, selamat tinggal selama-lamanya atau sementara buat R6? Apa yang pasti buat masa ini, tiada lagi pengeluaran R6 pada tahun 2021.
Sumber : Rideapart.com