Bukan bermula dari 7 Oktober tetapi penindasan terhadap rakyat Palestin berterusan sejak lewat 1940an atau lebih tepat lagi, 1948. Pelbagai usaha yang dilakukan untuk menarik keluar rakyat Palestin dari cengkaman dan ‘jajahan’ negara yang tidak pernah diiktiraf Israel.
Kemuncak peperangan berat sebelah ini dicetuskan pada 7 Oktober dan sehingga ke hari ini, tiada usaha yang dapat dijalankan. Apatah lagi menghukum Israel yang semakin rakus membedil negara Palestin.
Walaupun kuasa-kuasa besar dunia tidak mampu berbuat apa-apa, ia tidak membisukan jutaan manusia di seluruh dunia menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin. Protes, mogok dan tidak kurang juga boikot berskala besar sedang giat dijalankan di seluruh dunia. Begitu juga dengan Malaysia yang tidak pernah berhenti menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Antara yang tidak ketinggalan memperlihatkan solidariti ini ialah Club Antique Motor Kulim yang menganjurkan Konvoi Solidariti Palestin baru-baru ini. Diketuai oleh pengerusinya, Abdul Razak Buhari, konvoi ini melibatkan perjalanan sejauh 182 kilometer dari Kulim ke Air Panas Baling dan kembali ke Kulim semula dengan pembabitan motosikal antik jenis Honda C70 lampu bulat.
Bukan itu sahaja, setiap motosikal yang ditunggang para peserta mengibarkan bendera Palestin di sepanjang laluan merentasi dua daerah. Selain memberi kesedaran agar semua pihak menyokong hak mendapatkan bantuan kemanusiaan terhadap mangsa terutama wanita dan kanak-kanak yang ditindas, dalam masa sama menyatakan solidariti agar seluruh dunia cintakan keamanan dan kedamaian.
Konvoi yang disertai 18 ahli itu bermula dari Kulim melalui pekan Siong, Kupang, Kuala Pegang dan Ulu Legong yang mana perjalanan mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke Baling serta bermalam di sana. Pada hari kedua, para peserta berkonvoi ke seluruh daerah sebelum bergerak pulang ke Kulim.
Usaha kelab ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari para pengguna jalan raya lain yang memberi isyarat lampu dan tidak kurang juga, membunyikan hon sebagai tanda sokongan. Semoga usaha kecil ini mampu memberikan manfaat.
Sebelum mengakhiri perbualan, Abdul Razak turut mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan konvoi solidariti terhadap Palestin tidak kira dalam apa jua cara sekalipun.