Sebagaimana yang sedia maklum, arena dunia sukan lumba motor telah beberapa kali ditangguhkan ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran kes positif pandemik. Bukan sahaja MotoGP dan Cub Prix, MSBK turut menerima tempiasnya. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) dengan bangganya telah mengumumkan tarikh baru untuk Malaysia Superbike Championship (MSBK) musim 2021.
Pusingan 1 : Litar Antarabangsa Sepang, 15 Oktober sehingga 17 Oktober
Pusingan 2 : Litar Antarabangsa Sepang, 29 Oktober sehingga 31 Oktober
Dengan pengumuman bahawa negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih ke Fasa 3 berkuatkuasa pada 1 Oktober, Malaysia Superbike Championship bakal menjadi acara permotoran pertama yang meraikan kehadiran para penonton kembali ke grandstand!
Selepas dua tahun menyaksikan perlumbaan menerusi siaran streaming, akhirnya peminat boleh menikmati keseronokan dan menyaksikan aksi-aksi mendebarkan MSBK 1000, MSBK 600, MSBK 250 dan MSBK 150 secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif berkata, kehadiran para penonton amat dinanti-nantikan pada pusingan pembukaan musim MSBK kali ini. Suasana meriah dengan sorakan penonton sedikit sebanyak menaikkan lagi semangat khususnya kepada para pelumba untuk membuat yang terbaik sehingga ke garis penamat.Segala ciri-ciri keselamatan kekal menjadi keutamaan pihak SIC dengan mengekalkan pematuhan SOP yang ketat. Pasukan penguatkuasa juga akan dikerahkan untuk mengawasi dan memastikan setiap SOP dipatuhi.
Manakala menurut pengarah Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg, sukan permotoran mempunyai rekod bersih dalam mengekalkan dan mengamalkan pematuhan SOP. Walaupun hanya tinggal beberapa minggu sebelum perlumbaan pusingan 1, Ron Hogg yakin dapat menwujudkan suasana yang sihat kepada para penonton agar dapat menikmati perlumbaan dalam keadaan sihat dan selamat.