Didi Resources melancarkan secara rasmi dua model terbaharunya Aprilia Tuono V4 1100 Factory dan Aprilia RSV4 1100 Factory ke pasaran tempatan. Tuono V4 1100 Factory menampilkan perincian gentian karbon dan suspensi elektronik semi aktif. Dibangunkan hasil kerjasama di antara Ohlins dan pasukan jurutera Apirlia, ia merupakan suspensi paling canggih di pasaran sekarang. Sistem tersebut menjanjikan prestasi terbaik di atas litar dan jalan raya biasa. Jentera itu juga dilengkapi sistem pengurusan elektronik sofistikated. Ini termasuklah pakej kawalan dinamik termaju APRC, cornering ABS, quick shifter aktif, pengehad pit dan kawalan jelajah. Enjin V4 itu mampu menjana kuasa mencecah 175hp. Manakala kerangka perlumbaan yang digunakan menawarkan prestasi luar biasa. Tuono V4 1100 Factory didatangkan dengan grafik baharu yang lebih menyerlah bersama pelbagai komponen karbon. Kebanyakan komponen diambil daripada superbike Aprilia RSV4 RF. Kaliberasi boleh dilakukan dengan mudah menerusi butang kawalan pada bar hendal.
Seperti biasa, RSV4 1100 Factory sentiasa menetapkan penanda aras baru dari segi sporty dan prestasi. Terima kasih kepada suspensi semi aktif yang sofistikated, jentera paling laju, berkuasa dan ringan itu dilihat lebih efisien di atas litar. Motosikal tersebut menggunakan khidmat enjin V4 65 darjah yang belum pernah dipasang pada mana-mana sportbike keluaran kilang. Kerangka tersebut pernah memenangi 143 perlumbaan Grand Prix dan telah dipertingkatkan dengan sistem elektronik terkini untuk menguruskan operasi enjin dan dinamik tunggangannya.
Aprilia menjadi pengeluar motosikal pertama yang mengadaptasi pendikit Ride-by-Wire multimap sebagai ciri standard. Ia juga yang pertama mempatenkan sistem kawalan dinamik APRC bersama ciri eksklusif seperti kaliberasi sendiri dan kawalan wheelie. Tuono V4 1100 Factory ditawarkan pada harga asas RM121,000 seunit, manakala RSV4 1100 Factory pula berharga RM159,900. Kedua-duanya hadir dengan jaminan kilang selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu).
Sumber : Mekanika